My Add

Friday 26 July 2013

KPJ tambah bangunan baru di Seremban

SEREMBAN, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Hospital Pakar Seremban (KPJ Seremban), ahli Kumpulan Perubatan Johor, akan menambah dua lagi blok bangunan baru dalam tempoh dua tahun akan datang bagi menampung peningkatan bulangan pesakit, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Abdul Rahman.

Katanya, pembinaan bangunan baharu berkonsepkan bangunan hijau itu dijangka menelan belanja hampir RM52 juta dan melibatkan tiga fasa, mulai September ini.

"Dalam fasa pertama, kita merancang membina satu bangunan lapan tingkat, di mana bahagian pentadbiran dan klinik doktor akan dipindahkan dan sebuah lagi bangunan enam tingkat yang mempunyai kira-kira 90 buah katil tambahan."

"Sebanyak 130 lagi katil akan ditambah dalam fasa kedua dan ketiga, menjadikan bilangan keseluruhan katil lebih 350 buah," katanya pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada golongan Asnaf di KPJ Seremban di sini malam tadi.

Selain itu, katanya, KPJ Seremban juga berhasrat menambah 25 orang lagi doktor seiring dengan rancangannya menambah perkhidmatan baharu seperti pembedahan mikro, persenyawaan 'in vitro', unit kebakaran, penyakit orang tua dan sebagainya.

Katanya, langkah itu mampu menarik pesakit luar negara iaitu dari Padang dan Medan, Indonesia.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, KPJ Seremban juga merancang membuka satu hospital di Port Dickson yang condong kepada pelancongan perubatan yang kini semakin mendapat tempat.

"Perkhidmatan utama yang akan diadakan di sana ialah seperti pembedahan plastik, kosmetik, penyedutan lemak dan banyak lagi. Buat permulaan, kita menjangka menyediakan 60 katil.

"Kita juga (merancang) menyediakan penempatan untuk rumah orang-orang tua di sana di mana keistimewaan rumah ini ialah perkhidmatan perubatan, doktor dan jururawat yang berhampiran," katanya.

Keluasan tanah untuk pembangunan baharu itu dianggarkan 1.62 hektar dan kos dianggarkan kira-kira RM25 juta, katanya, tetapi tidak menjelaskan bila hospital itu akan dibuka. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment