My Add

Wednesday 10 July 2013

Kuin jadi badan berkanun negeri

Oleh SAFINA RAMLI

ALOR SETAR, SELASA, 09 Jun, 2013: Kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menerima berita gembira apabila Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir menunaikan janji untuk mengembalikan hak dan kebajikan kakitangan kolej tersebut yang diabaikan oleh Kerajaan Negeri Pas sebelum ini.

Mukhriz dalam kunjungan mengejutnya pada majlis perjumpaan bulanan kakitangan Kuin semalam mengumumkan langkah konstruktif termasuk menjadikan kolej universiti itu sebagai sebuah badan berkanun negeri, iaitu antara enam langkah bagi menambah baik Kuin.

Pengarah Jabatan Perhubungan Awam Kuin, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim berkata, langkah kedua ialah kerajaan negeri dan Ahli Lembaga Pengarah Kuin sebulat suara bersetuju menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012 yang membolehkan kenaikan gaji kakitangan Kuin di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) atau lebih dikenali dengan kenaikan gaji 13 peratus.

"Langkah kedua itu juga menerima pakai pekeliling perkhidmatan bilangan tiga tahun 2012 untuk tujuan kenaikan kadar bantuan sara hidup sebanyak RM50 sebulan bagi setiap kakitangan.

"Langkah ketiga yang diumumkan ialah menerima pakai pekeliling perkhidmatan bilangan lima tahun 2013 untuk tujuan pemberian pemindahan gaji kepada kakitangan Kuin mengikut Sistem Saraan Baru atau lebih dikenali kenaikan satu tangga gaji," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, langkah keempat ialah kerajaan negeri menerima pakai pekeliling perkhidmatan bilangan dua tahun 2013 untuk tujuan penambahbaikan jadual gaji minimum-maksimum kepada kakitangan Kuin berdasarkan SSM.

Selain itu tambahnya, Mukhriz juga mengumumkan bahawa Pihak Lembaga Pengarah Kuin bersetuju menerima pakai pekeliling-pekeliling kerajaan yang lain sekiranya pihak kerajaan mengumumkan sebarang imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi atau lebih dikenali sebagai bonus tahunan kepada semua kakitangan Kuin.

"Pengumuman yang dibuat Mukhriz itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh semua kakitangan Kuin. Yang paling menggamatkan suasana dewan ialah apabila Mukhriz mengumumkan kerajaan negeri dan Lembaga Pengarah Kuin bersetuju menjadikan Kuin sebagai sebuah badan berkanun negeri Kedah," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment