My Add

Tuesday 23 July 2013

KWSP adakan kempen pengeluaran fleksibel 55 tahun

KUALA LUMPUR, ISNIN, 22 Julai, 2013; Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melancarkan kempen pengiklanan untuk menggalakkan pencarum memilih Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun bagi membolehkan ahli melanjutkan tempoh simpanan mereka semasa bersara.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, menerusi Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun itu, ahli boleh memilih untuk membuat pengeluaran secara sebahagian, bulanan atau kombinasi kedua-duanya sekali.

Menurutnya, kempen pengiklanan bertemakan 'Melanjutkan Tempoh Simpanan Persaraan Anda' yang disiarkan di radio, akhbar dan Facebook KWSP mulai hari ini sehingga 2 Ogos 2013 itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KWSP untuk meningkatkan kesedaran ahli mengenai perancangan semasa persaraan.

"Memandangkan purata jangka hayat rakyat Malaysia telah meningkat kepada 75 tahun, KWSP menyeru ahli menguruskan simpanan mereka menggunakan pilihan fleksibel ini. Pengeluaran ini membolehkan ahli melanjutkan tempoh simpanan mereka semasa bersara.

"Tambahan pula simpanan di KWSP akan terus menerima dividen, sekali gus meningkatkan simpanan persaraan ahli. Pelanjutan tempoh simpanan ini akan menguntungkan lagi ahli," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Affendi turut menasihatkan ahli supaya memulakan lebih awal perancangan kewangan untuk persaraan dan tidak bergantung sepenuhnya terhadap simpanan KWSP yang mungkin tidak mencukupi.

Katanya, ahli perlu merancang menyimpan melalui saluran-saluran pelaburan lain yang terdapat di pasaran sebagai sebahagian daripada perancangan persaraan. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment