My Add

Wednesday 10 July 2013

Laporan muktamad kajian kereta api laju dijangka siap hujung bulan ini

KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 2013: Laporan muktamad mengenai kajian bagi projek pembinaan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura dijangka disiapkan hujung bulan ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Beliau berkata, kajian itu merangkumi penilaian terperinci dari aspek teknikal dan kejuruteraan, kos, kewangan dan operasi serta mengambil kira faedah ekonomi.

"Kajian itu yang selesai dijalankan kini berada di fasa akhir bagi penyediaan laporannya.

"Kita menjangkakan laporan muktamad pada penghujung Julai," katanya menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Teresa ingin tahu status pembinaan kereta api itu dan sama ada projek berkenaan akan diberikan melalui tender terbuka.

Menurut Nancy, koridor yang dikenal pasti untuk projek itu akan melalui semua kawasan dan negeri antara Kuala Lumpur dan Singapura iaitu Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Berhubung pemilihan tender bagi projek itu, Nancy percaya kerajaan akan menimbang mekanisme terbaik mengikut prosedur, tata cara dan garis panduan sedia ada.

Menjawab soalan tambahan Datuk Makin@Marcus Majigoh (BN-Putatan), beliau berkata, isu kos tidak boleh didedahkan di dalam Dewan yang dianggap tidak adil kepada negara berikutan projek itu membabitkan kerjasama dengan negara jiran.

"Jika didedahkan di sini, ia akan tidak adil kepada negara kerana kita akan berkongsi dengan Singapura, itu terlalu awal untuk mengeluarkan maklumat terperinci," kata Nancy. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment