My Add

Wednesday 24 July 2013

Lebih 50,000 kanak-kanak belum buat MyKad

PUTRAJAYA, SELASA, 23 Julai, 2013; Seramai 55,537 kanak-kanak yang berumur 12 tahun di seluruh negara dikesan masih belum membuat permohonan kad pengenalan (MyKad) kali pertama.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Sabah dan Selangor merupakan dua negeri yang mencatatkan paling ramai kanak-kanak belum membuat permohonan itu.

Katanya, isu tersebut merupakan masalah serius kerana melanggar Peraturan Tiga, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang mengkehendaki setiap kanak-kanak berstatus warganegara Malaysia perlu dikeluarkan kad pengenalan kali pertama.

"Kita dapati kebanyakan masalah ini berpunca daripada ibu bapa sendiri yang bersikap sambil lewa dan tidak kisah, di samping faktor tinggal di kawasan pedalaman serta ladang.

"Untuk tahun kelahiran 2000, Sabah dan Selangor mencatatkan jumlah paling ramai iaitu masing-masing 4,217 dan 1,758 kanak-kanak yang belum membuat permohonan tetapi jika mengikut penduduk, Johor merupakan yang tertinggi iaitu 1,562 orang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Anak-anak Yatim Rumah Nur Hikmah Kajang di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, JPN akan mempergiatkan usaha kesedaran dengan melaksanakan program My12 dan My18.

Katanya, pelaksanaan program My12 akan dibuat dengan melibatkan sesi penerangan di sekolah-sekolah setiap negeri dan sesi permohonan di lapangan melalui khidmat bergerak JPN 1Malaysia dan unit bergerak kad pengenalan.

"Program My18 pula disasarkan kepada mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun kerana pemohon telah mengalami perubahan rupa paras dan fizikal selaras dengan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007)," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kempen kesedaran program My18 akan dibuat menerusi sesi taklimat dan dialog di sekolah, institusi pengajian tinggi, kilang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memberikan kefahaman keperluan penukaran itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment