My Add

Wednesday 10 July 2013

Lebih 6,000 layak terima fitrah di Melaka

MELAKA, RABU, 10 Julai, 2013: Seramai 6,144 orang golongan asnaf dan fakir di Melaka dikenal pasti layak menerima zakat fitrah tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Idris Haron.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, jumlah tersebut menurun lebih 50 peratus berbanding 9,496 penerima tahun lepas.

Bagaimanapun, jumlah perbelanjaan untuk pemberian zakat tahun ini meningkat iaitu sebanyak RM2.4 juta berbanding RM2.37 juta tahun lepas, katanya.

"Penurunan jumlah penerima telah mengizinkan pengagihan yang diterima setiap asnaf dan fakir dapat ditingkatkan," katanya dalam ucapan yang dibacakan pada program penyerahan persediaan Ramadan dan beras fidyah oleh MAIM hari ini.

Teks beliau dibacakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Sazali Muhd Din.

Turut hadir Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Yaakub Md Amin.

Pada majlis tersebut, seramai 349 orang asnaf dan fakir di kawasan Dewan Undangan Negeri Klebang dan Sungai Udang menerima agihan zakat fitrah sebanyak RM300, fidyah sebanyak RM50 dan beras fidyah sebanyak lima kilogram setiap seorang.

Memberitahu pemberita kemudian, Sazali berkata golongan asnaf dan fakir yang belum menerima sumbangan perlu hadir di pejabat MAIM bagi tindakan lanjut.

Beliau berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penurunan bilangan penerima tahun ini seperti mereka telah berpindah alamat dan tidak dapat dihubungi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment