My Add

Sunday 14 July 2013

LKTN sasar 2,500 hektar tanaman kenaf tahun ini

 * SALAHseorang pekerja sedang menuai pokok Kenaf yang telah matang di Kampung Tepong Merchong, Nenasi, Pekan, Pahang. - Gambar hiasan
LARUT, SABTU, 13 Julai, 2013: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mengenal pasti kawasan seluas 2,500 hektar di lapan buah negeri untuk dilaksanakan penanaman kenaf pada tahun ini dalam usaha untuk mengembangkan tanaman tersebut di negara ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, kawasan tersebut melibatkan 1,000 hektar di Pahang, Kelantan (600 hektar), Terengganu (400 hektar), Perak (200 hektar), Johor (180 hektar), Selangor (70 hektar) dan Negeri Sembilan serta Melaka masing-masing 25 hektar.

Menurutnya, dengan penambahan kawasan tanaman kenaf itu, pihaknya menjangkakan bilangan pengusaha kenaf sedia ada sebanyak 683 orang akan meningkat kepada 2,000 orang pada hujung tahun ini.

"Sehingga kini, kawasan tanaman kenaf di seluruh negara seluas 1,117 hektar dan LKTN telah memberi bantuan penanaman kenaf berjumlah RM2.664 juta melibatkan 683 penanam.

"Kita menyasarkan kawasan tanaman kenaf seluas 3,000 hektar pada 2014 dan 5,000 hektar pada 2015 bagi meningkatkan pengeluaran sekali gus mencapai matlamat kerajaan menjadikan kenaf sebagai salah satu komoditi utama negara selepas kelapa sawit dan getah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan penuaian tanaman kenaf di tapak plot kajian penambahbaikan kaedah penanaman dan pemprosesan kenaf oleh syarikat Inner-Subway Sdn. Bhd., di Kampung Tanjung Lengkong, Selama dekat sini hari ini.

Menurut Douglas, di Perak sahaja setakat ini, seluas 75.1 hektar daripada 200 hektar kawasan yang dikenal pasti telah pun ditanam dengan kenaf dan melibatkan sebanyak 44 penanam.

"Kawasan tersebut meliputi Kuala Kangsar seluas 34 hektar, Selama (30.3 hektar), Taiping (8.2 hektar) dan Larut Matang (2.6 hektar)," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah LKTN, Datuk Ahmad Loman yang turut hadir pada majlis tersebut memberitahu, pihaknya merancang membangunkan sebuah pusat pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran kenaf (CPMC) di Batu Kurau dekat sini pada 2016 bagi memudahkan urusan pemprosesan berskala besar di Perak.

Katanya, inisiatif tersebut akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta yang kini sedang berunding untuk membeli sebuah kilang lama Mardec Bhd., di situ bagi dijadikan sebagai CPMC.

"CPMC ini dijangka mampu memproses lebih 50 tan metrik kenaf sehari. Dengan adanya CPMC ini nanti, syarikat Uniplaster Sdn. Bhd. (Uniplaster), yang ada kilang di Chemor akan mendapat bekalan fiber yang mencukupi bagi pembuatan siling plaster," ujarnya.

Kata beliau, LKTN dan Uniplaster dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Ogos ini bagi pembekalan fiber.

Pada masa ini, terdapat tujuh buah syarikat tempatan membeli kenaf daripada LKTN iaitu KPC Sdn. Bhd., Kenaf Bio-Solution Sdn. Bhd., Everise Crimson Sdn. Bhd., Kenaf Natural Industry Sdn. Bhd., Pointray Sdn. Bhd., Kefima (M) Sdn. Bhd., dan Dynamic Agro Farm Sdn - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment