My Add

Thursday 11 July 2013

Lynas tarik balik saman fitnah terhadap SMSL

KUANTAN, RABU, 10 Julai, 2013: Lynas Corporations Limited dan Lynas Malaysia Sdn Bhd hari ini menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap kumpulan Anti-Lynas 'Save Malaysia, Stop Lynas' (SMSL) di Mahkamah Tinggi Kuantan, di sini.

Keputusan itu dibuat di hadapan Hakim Datuk Seri Mariana Yahya di dalam kamarnya.

Peguam Datuk Bastian Vendargon yang mewakili SMSL ketika ditemui pemberita berkata peguam plaintif, Rishwant Singh memberitahu hakim bahawa kedua-dua syarikat itu mengambil keputusan menarik balik saman berkenaan yang dikemukakan mereka pada tahun lepas sebelum prosiding bermula.

Bagaimanapun, katanya, pihak Lynas tidak menyatakan sebarang sebab atau alasan mengapa mereka menarik balik saman fitnah itu.

"Hari ini sepatutnya untuk mendengar permohonan pihak kami untuk mendapat dokumen berhubung kes ini sebelum kami diberitahu bahawa pihak Lynas menarik balik saman ini," katanya.

Beliau berkata Mariana memberitahu kos ganti rugi yang akan dibayar oleh Lynas kepada SMSL akan ditentukan oleh pihak pendaftar.

"Pihak kami akan mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan kepada pihak pendaftar bagi menentukan jumlah amaun yang sepatutnya dibayar kepada SMSL secepat mungkin, apa yang paling penting kes ini sudah selesai," kata Vendargon. 

Pada 19 April tahun lepas, Lynas Corporation of Sydney, Australia dan Lynas Malaysia menyaman SMSL Sdn Bhd, dua pengarahnya, Tan Bun Teet dan Lim Sow Teow serta tiga sukarelawan iaitu Hang Chong Leung, Lee Chow Fong dan Ismail Abu Bakar, berhubung satu artikel memfitnah yang disiarkan blog kumpulan itu pada 22 Mac tahun lepas di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Lynas memohon perintah injunksi memerintahkan SMSL dan lima yang lain membuang artikel bertajuk 'Civil Society Organisations Joint Statement on Lynas Issue: SMSL Malaysian NGO Statement Against Lynas' daripada blognya sehingga saman itu dilupuskan.

Pada 26 Julai 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk John Louis O'Hara menolak permohonan Lynas untuk mendapatkan perintah injunksi dan memutuskan bahawa pada peringkat itu, mahkamah tidak boleh merumuskan sama ada artikel itu bersifat memfitnah atau sebaliknya, sehingga mendengar keterangan pada perbicaraan penuh kes itu.

Pada 26 September tahun lepas, O'Hara membenarkan permohonan SMSL untuk memindahkan saman itu ke Mahkamah Tinggi Kuantan untuk dibicarakan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment