My Add

Thursday 11 July 2013

Lynas unjur permintaan nadir bumi pulih tidak lama lagi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 Julai, 2013: Lynas Corp menjangka permintaan bagi produk nadir buminya akan pulih tidak lama lagi berikutan harga semasa yang rendah dan kekurangan inventori dalam kalangan peserta industri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eric Noyrez bagaimanapun berkata, permintaan baharu akan datang dari segmen tertentu yang menyaksikan inventori rendah disebabkan permintaan lebih tinggi daripada pengguna akhir.

"Terdapat beberapa segmen atau pasaran yang akan kehabisan nadir bumi pada akhir tahun ini, kerana kali terakhir kebanyakan syarikat membeli produk itu adalah pada tahun 2010, apabila harga masih rendah," katanya kepada Bernama.

Noyrez berkata syarikat itu kini telah selesai Fasa Satu kilang Lynas Advanced Materials Plant, manakala pengembangan kilang di bawah Fasa Dua pada tahap pelaksanaan fasa, dengan ujian peralatan.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak ada rancangan segera untuk meningkatkan pengeluaran kepada kapasiti baru.

Beliau berkata syarikat itu hanya akan memulakan operasi Fasa Dua apabila permintaan pasaran bertambah baik, yang akan memberi harga yang tepat untuk nadir bumi di pasaran.

"Berdasarkan laporan berkaitan dan laporan pasaran lain, semua orang menyatakan bahawa sekarang adalah masa perubahan bagi pasaran. Harga yang terlalu tinggi untuk dua tahun lepas dan kini terlalu rendah. 

"Pasaran nadir bumi semasa masih lembap. Sebagai tindak balas kepada persekitaran makro, Lynas mengoptimumkan pengeluaran pada tahap kapasiti fasa satu," katanya.

Lynas mengumumkan pelaksanaan jadual harga minimum bagi produk nadir buminya berkuat kuasa 1 Julai, 2013 setelah syarikat percaya bahawa hanya harga yang mampan bagi pengeluar dan pelanggan akan membolehkan pasaran nadir bumi berkembang kepada potensi sepenuhnya dalam tempoh jangka panjang.

"Adalah menjadi tanggungjawab kami sebagai pengeluar nadir bumi untuk melabur dalam langkah-langkah perlindungan alam sekitar yang sewajarnya dan menggalakkan pembangunan amalan mampan yang selamat untuk manusia, selamat untuk alam sekitar dan selamat untuk pelanggan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment