My Add

Wednesday 10 July 2013

MAHB sasar RM1.46 bilion segmen bukan penerbangan

SEPANG, SELASA, 09 Julai, 2013: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasar meraih pendapatan RM1.46 bilion daripada jualan yang dijana menerusi segmen bukan penerbangannya tahun ini berbanding RM1.3 bilion tahun lepas.

"Pengendali lapangan terbang di seluruh dunia termasuk MAHB kini mula menumpukan kepada segmen bukan penerbangan, terutamanya daripada pendapatan komersil," kata Pengarah Besar Kanan Bahagian Perkhidmatan Komersil, Faizah Khairuddin.

"Syarikat mempunyai rancangan untuk mengembangkan bahagian lebih besar segmen bukan penerbangan daripada sumbangan sekarang iaitu pada 52 peratus kepada jumlah pendapatan kami," katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen 'Indulge Till You Fly (ITUF) 2013-2014' di sini, hari ini.

"Kami menyasar untuk menambah sehingga dua pertiga pendapatan daripada segmen bukan penerbangan manakala satu pertiga disumbang daripada segmen penerbangan," katanya.

Beliau berkata, sasaran ini adalah besar bagi MAHB tetapi sangat berdaya maju kerana kumpulan mempunyai banyak peluang yang perlu dipertimbangkan.

Mengenai kempen ITUF itu, Faizah berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha MAHB untuk meningkatkan kesedaran tentang dwi peranan lapangan antarabangsanya, sebagai hab pengangkutan dan destinasi gaya hidup.

"Kempen itu diadakan bagi tahun keempat berturut-turut, bagi tahun ini kami menyasar jualan RM150 juta, iaitu 15 peratus lebih tinggi berbanding jualan tahun lepas pada RM130 juta," katanya.

Beliau juga menyebut semasa kempen tahun lepas, pengendali lapangan terbang itu meraih kenaikan jualan 134 peratus yang dijana menerusi kempen tersebut manakala purata perbelanjaan pengembara juga naik sebanyak 50 peratus.

"Kami yakin dapat mencapai sasaran tahun ini kerana kami mempunyai pasukan yang hebat untuk menukarkan lapangan terbang menjadi syurga membeli belah," katanya.

Kempen ITUF 2013/2014 Malaysia Airports akan bermula esok sehingga 28 Feb, 2014, di semua lapangan terbang antarabangsa - KLIA-LCCT-KLIA, Langkawi, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.

Tahun ini, pemenang hadiah pertama akan menerima ganjaran membeli belah bernilai RM1 juta di KLIA dan merasai pengalaman membeli belah di Hong Kong, Tokyo, New York, London, Paris, Dubai dan Kuala Lumpur. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment