My Add

Wednesday 24 July 2013

Mahkamah berkuasa kena hukuman

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA, SELASA, 23 Julai, 2013: Peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mengingatkan masyarakat termasuk pengamal media dan penulis blog agar berhati-hati dengan kenyataan atau tulisan mereka di dada-dada akhbar dan laman blog bagi mengelak daripada berdepan tindakan saman malu kerana memfitnah individu tertentu.

Beliau berkata, dunia siber bukan suatu lapangan untuk membuat kenyataan atau siaran sesuka hati kerana saman malu boleh dikenakan yang membawa implikasi serius termasuk dihukum kerana tindakan menghina.

Menurutnya, mahkamah mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman ke atas mereka yang melakukan perbuatan menghina seperti yang termaktub di bawah Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan.

''Kuasa menjatuhkan hukuman itu merupakan amaran kepada wartawan, penulis blog dan orang awam agar berhati-hati terhadap implikasi yang boleh dikenakan jika mereka tidak mengawasi kenyataan yang disiarkan,'' katanya.

Muhammad Shafee menyatakan demikian dalam satu kenyataan ketika mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan penulis blog, Amizudin Ahmad, 43, terhadap hukuman penjara tiga bulan kerana menghina mahkamah.

Beliau menambah, keputusan hari ini boleh dijadikan panduan dan piawaian terhadap dunia penulisan blog yang mana tiada siapa pun boleh menyiarkan berita palsu yang boleh menghancurkan imej individu lain.

Amizudin dikenakan tindakan menghina mahkamah oleh Mahkamah Tinggi kerana terus menyiarkan dalam laman blognya artikel yang memalukan bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Zaharah Ibrahim mengekalkan keputusan Mahkamah Tingggi pada 10 Ogos tahun lalu yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM300,000 manakala kos RM100,000 dikurangkan kepada RM50,000. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment