My Add

Monday 15 July 2013

Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional ditubuh sebelum akhir tahun

KUALA LUMPUR  ISNIN, 15 Julai, 2013: Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) bakal diwujudkan menjelang akhir tahun ini untuk memberi nasihat kepada kerajaan berhubung penyatuan nasional rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, berkata Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengadakan beberapa siri dialog dan perbincangan meja bulat dengan beberapa pihak bagi mendapatkan input berhubung penubuhan majlis itu.

"Hasil daripada dialog ini kami ambil dan digunakan bagi mewujudkan Pelan Penyatuan Nasional (pembentukan MKPN) seperti yang dicadangkan sebelum ini," katanya dalam wawancara dengan Bernama.

Kurup berkata sesi dialog yang dikenali sebagai "Consultation on Developing a National Agenda for Reconciliation" itu telah diadakan di sini pada 28 Mei, Kota Bahru (25 Jun), Putrajaya (28 Jun), Kuching (3 Julai) dan Kota Kinabalu (4 Julai).

Selain itu, satu bengkel turut diadakan di Universiti Putra Malaysia pada 13 dan 14 Julai bagi mendapatkan input berkenaan, katanya.

"Selepas bengkel, dalam masa terdekat ini, kita akan kemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan...Kita harap MKPN boleh diwujudkan sebelum akhir tahun ini," katanya.

Cadangan menubuhkan MKPN diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat 26 Jun lepas sebagai usaha mencapai matlamat penyatuan nasional bagi mengerat semula hubungan antara rakyat. 

Hubungan ini dilihat telah berpecah sehingga membentuk polarisasi kaum selepas pilihan raya umum ke-13 Mei lepas.

Beberapa tokoh, termasuk Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan 1Malaysia seperti Datuk Dr Chandra Muzzafar dan ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye telah mengemukakan beberapa cadangan mengenai pembentukan MKPN.

Antaranya, MKPN perlu diwujudkan di bawah akta parlimen, diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan dan integrasi nasional dengan ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang mewakili kumpulan masyarakat serta yang membuat penyelidikan mengenai hubungan etnik di negara ini.

Bagaimanapun, Kurup berkata semua cadangan ini termasuk input dari beberapa siri dialog masih diteliti pihaknya.

Walauapapun, beliau berharap dengan wujudnya MKPN nanti, kerajaan akan dapat mengurangkan soal polarisasi kaum dan mengukuhkan hubungan antara agama di negara ini.

Dalam temubual itu, Kurup turut ditanya mengapa kerajaan tidak menggunakan beberapa panel atau jawatankuasa sedia ada seperti Jawatankuasa Kabinet Untuk Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian di Antara Penganut Agama (JKMPKA) dan Panel Perpaduan dan Integrasi Nasional.

Beliau menjelaskan fungsi kedua-dua jawatankuasa berkenaan adalah berbeza.

"JKMPKA atau interfaith panel hanya menyelesaikan masalah-masalah berkaitan keagamaan. Tujuannya cukup jelas, iaitu ke arah Malaysia yang lebih harmoni dengan fungsinya cukup spesifik iaitu mempromosi keharmonian antara penganut-penganut agama.

"Sebaliknya, MKPN pula mempunyai bidang kuasa yang lebih luas iaitu berfungsi untuk menasihati kerajaan dalam usaha untuk menyatupadukan rakyat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment