My Add

Friday 26 July 2013

Malakoff dapat pembiayaan projek nyahgaram air di Oman

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Malakoff Corporation Bhd. (Malakoff) telah menandatangani perjanjian pembiayaan untuk pembekalan 42 juta gelen air sehari daripada Al Ghubrah, satu projek penyahgaraman air bebas di Oman, yang dijangka disiapkan menjelang Oktober tahun depan.

Malakoff mendapat pembiayaan daripada Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ Ltd, Sumitomo Mitsui Banking Corporation dan Japan Bank for International Cooperation.

"Kejayaan ini telah meletakkan Malakoff pada kedudukan yang lebih kukuh untuk mencari lebih banyak peluang di Timur Tengah dan Afrika Utara," kata ketua pegawai eksekutif Malakoff Zainal Abidin Jalil dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal Abidin berkata, anak syarikat milik penuh Malakoff, Malakoff International Ltd, mengetuai syarikat konsortium seperti Sumitomo Corporation dari Jepun dan Cadagua S.A. dari Sepanyol untuk menjalankan pembinaan fasiliti pengeluaran air.

Malakoff baru-baru ini telah memasuki pasaran Tenaga Boleh Diperbaharui Australia melalui pembelian 50 peratus kepentingan dalam ladang angin 420 Megawatt di negara itu.

Malakoff, anak syarikat MMC Corporation Bhd, adalah pengeluar air dan tenaga bebas, dengan fokus utama kepada penjanaan kuasa, penyahgaraman air dan perkhidmatan operasi dan penyenggaraan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment