My Add

Wednesday 17 July 2013

Malaysia perlu elak dikecam dunia Islam

 Andi Ehsan
KOTA KINABALU, SELASA, 16 Julai, 2013: Imej dan maruah Malaysia sebagai negara Islam contoh serta disegani di seluruh dunia boleh tercemar sekiranya tiada penyelesaian konkrit dilakukan bagi menangani beberapa siri penghinaan melampau penganut agama lain terhadap kesucian agama Islam.

Ulama Makasar, Sulawesi, Drs. Abuya Andi Ehsan berkata, tindakan itu juga boleh memberi gambaran tidak baik kepada rakyat negara ini yang majoriti penduduknya beragama Islam.

"Perkara ini amat serius dan perlu ditangani jika tidak dunia Islam mungkin akan mengecam Malaysia kerana gagal menanganinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Mohd. Arifin Arif di Masjid Negeri, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Alvin Tan dan Vivian Lee mempersenda kedatangan Ramadan selepas memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan tertera perkataan: "Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)...wangi, enak dan menyelerakan".

Lebih biadab, pasangan itu turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.

Andi dan Ketua Majlis Fatwa Ulama Kota Palopo, Sulawesi, Prof. Dr. Said Mahmud mengetuai lima ulama Indonesia dalam pertemuan itu.

Sementara itu, Said yang juga Ketua Umum Forum Komunikasi Umat Berugama Indonesia berkata, umat Islam perlu bersatu mempertahankan kesucian Islam daripada terus diperlekeh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, di Indonesia sekiranya wujud permasalahan antara agama semua wakil agama akan mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Saya terkejut perkara itu berlaku di sini kerana jika kita melihat di China walaupun negara komunis tetapi mereka amat menghargai umat Islam. Ini kerana mereka sedar umat Islam mempunyai peranan besar dalam ekonomi," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment