My Add

Wednesday 24 July 2013

Malcoy 9 ditempatkan di Kem Marakah

KUALA LUMPUR, SELASA 23 Julai, 2013; Kompeni Malaysia (Malcoy) 9 yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) akan ditempatkan di penempatan baharu di Kem Marakah, Sektor Barat setibanya di negara itu awal pagi esok.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, perkembangan itu sekali gus menandakan Malcoy 9 sebagai pasukan pertama dalam siri Malcoy yang akan digabungkan secara rasmi dengan pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) kali ini.

Bukan itu sahaja, pelaksanaan atur gerak Malcoy 9 ke Kem Marakah juga menandakan berakhirnya penugasan Malcoy 8 di Sektor Timur.

"Penugasan Malcoy 8 di Sektor Timur UNIFIL telah pun ditutup secara rasmi pada 3 Julai lalu menerusi Upacara Paluan Berundur oleh Komander Pasukannya, Mejar Jeneral Paola Seera.

"Oleh itu, saya berharap setiap anggota Malcoy 9 akan meningkatkan lagi usaha untuk menambah baik keadaan Kem Marakah yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malcoy 9 ke Lebanon di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Staf Markas ATM, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Yang hadir sama Pemangku Panglima Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Abu Bakar Md.Said dan Penasihat Pertahanan Brunei, Leftenan Kolonel (L) Othman Suhaily@Suhaili.

Malcoy 9 yang mempunyai kekuatan 310 anggota akan menggantikan Malcoy 8 yang akan menamatkan misi selama 12 bulan di Lebanon.

Kumpulan pertama Malcoy 9 yang terdiri daripada 158 anggota diketuai oleh Komander Malcoy 9 iaitu Leftenan Kolonel Mohd. Zaki Abu bersama 10 pegawai dan 148 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk empat anggota wanita dan tiga anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Penghantaran kumpuan kedua Malcoy 9 akan dilaksanakan pada 30 Julai ini.

Dalam perkembangan sama, Zulkifeli berkata, jumlah keseluruhan pasukan ATM di Lebanon adalah 850 anggota sebaik sahaja proses penggabungan di antara Malcoy dengan Malbatt selesai. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment