My Add

Sunday 14 July 2013

Manfaatkan program generasi muda pekebun kecil

SEMPORNA, AHAD, 14 Julai, 2013: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mahu belia luar bandar memanfaatkan Program Generasi Muda Pekebun Kecil yang mampu membawa pulangan lumayan.

Beliau berkata, kementerian melalui pelbagai agensinya sentiasa memberi penekanan kepada penglibatan golongan muda luar bandar dalam bidang usahawan yang dapat memperkasakan mereka dalam bidang itu.

Pengenalan pertandingan Cabaran Perniagaan Luar Bandar dan Kampung Abad Ke-21 merupakan satu usaha merangsang belia bersaing untuk berjaya dalam bidang keusahawanan dan pelbagai aktiviti ekonomi yang lain, katanya.

Peruntukan RM10 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semalam untuk Program Generasi Muda Pekebun Kecil merupakan usaha murni kerajaan untuk golongan muda memanfaatkan sektor ekonomi kebun kecil yang mampu membawa pulangan lumayan, katanya.

Shafie yang juga Ketua UMNO Bahagian Semporna berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawankuasa UMNO Bahagian Semporna di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

"Saya penuh yakin, ia (peruntukan RM10 juta) merupakan satu usaha murni dalam usaha membangunkan luar bandar sejajar dengan hasrat kita untuk memperkasakan belia yang berada di luar bandar. Saya berharap generasi belia kita dapat tampil menawarkan diri supaya penglibatan mereka dapat dipertingkatkan lagi," katanya.

Menurut Shafie, melalui program berkenaan hasrat kerajaan untuk mengimbangkan pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar akan dapat direalisaikan kelak.

Katanya, aktiviti yang boleh dilaksanakan di bawah program berkenaan termasuklah keusahawanan, sukan, pekebun kecil, Kelab Generasi Muda Risda, kebudayaan dan Briged Kerja (melakukan pekerjaan di ladang).

Katanya, tahun ini kementerian menyediakan geran sebanyak RM2 juta sebagai ganjaran kepada usahawan luar bandar dalam pelbagai bidang termasuk penternakan dalam kedua-dua pertandingan tersebut.

Sementara itu, ketika menghadiri majlis berbuka puasa dengan masyarakat Semporna semalam, Shafie mahu umat Islam memanfaatkan bulan Ramadan untuk mendidik dan melatih diri menghayati nilai-nilai Islam yang suci.

Katanya, ramai umat Islam hari ini gagal mempamerkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian mereka sehingga ada pihak memandang negatif kepada Islam sedangkan amalan negatif itu bukan daripada ajaran Islam. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment