My Add

Thursday 18 July 2013

Marino: Perkasa, Jati buat laporan polis

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Jalur Tiga (Jati) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino mengenai isu kalimah Allah.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, laporan polis itu dibuat berikutan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail semalam bahawa Marino boleh disoal siasat dan disabitkan dengan dakwaan menghasut.

"Kenyataan beliau (Marino) sama sekali tidak boleh diterima dan dimaafkan kerana jelas beliau telah mencampuri urusan dalaman negara ini terutama agama Islam, iaitu agama persekutuan Malaysia.

"Perkasa juga mendesak beliau dihantar pulang segera kerana Perkasa berpendapat tindakannya adalah satu ancaman kepada negara ini dan boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum," katanya selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Media sebelum ini melaporkan Marino menyatakan sokongannya kepada kempen gereja tempatan untuk menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan bagi perkataan 'God' dalam kalangan penganut agama Kristian.

Syed Hassan berkata, Marino perlu tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat negara ini dan bukan sekadar melakukan demikian kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada Selasa lepas.

"Jika permohonan maaf tidak di hadapan semua media, Marino perlulah menghantar permohonan maaf secara rasmi melalui portal yang telah menemuramahnya sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Jati, Hasan Basri berkata laporan, polis itu berhubung kebiadapan Marino mencampuri urusan berhubung kalimah Allah yang belum lagi diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

"Jati melihat Marino, atas kenyataannya itu, akan menimbulkan prejudis khususnya di Mahkamah Rayuan yang masih lagi belum memutuskan isu ini," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment