My Add

Monday 15 July 2013

Marino tak patut sentuh isu kalimah Allah

 
KUALA LUMPUR, AHAD, 14 Julai, 2013: Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino tidak sepatutnya menyentuh mengenai isu penggunaan kalimah Allah kerana perkara itu berkaitan dengan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman (gambar) berkata, tindakan Marino itu boleh mencetuskan pertikaian sekali gus menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat Islam.

Lebih dikesalkan, tambah beliau, sokongan Marino terhadap penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini dilihat tidak kena pada masanya kerana Vatican City sendiri tidak menggunakan kalimah tersebut di negara berkenaan.

"Kita tidak tahu sama ada Marino menyatakan sokongan itu atas pendirian peribadi atau mewakili Vatican City, namun beliau tidak boleh masuk campur dalam hal ehwal agama Islam di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Marino dalam wawancara pertamanya dengan sebuah portal berita di negara ini Khamis lalu menyokong pendirian gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.

Berikutan itu, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam-Melayu yang sebelum ini mahu Marino diusir mendesak supaya kerajaan menutup pejabat kedutaannya di sini.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman turut menyatakan kebimbangan terhadap tindakan berani pihak luar membangkitkan isu agama Islam di negara ini kerana mendapat sokongan segelintir umat Islam sendiri.

Malah, beliau tidak menolak kalimah Allah akan berada di sebelah salib suatu hari nanti sekiranya umat Islam sendiri membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah tersebut untuk kepentingan mereka dan melakukan penyelewengan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment