My Add

Wednesday 10 July 2013

Masakan Perlis dipromosi di Dubai

DUBAI, SELASA, 09 Julai, 2013: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak para pelancong Timur Tengah menikmati keenakan makanan dan keindahan Malaysia termasuk Perlis yang merupakan negeri yang kaya dengan keindahan landskap alamnya.

Titah baginda, Perlis menawarkan kegiatan pelancongan sempadan, pelancongan agro, pelancongan eko dan pelancongan pendidikan yang seharusnya dinikmati oleh para pelancong seluruh dunia termasuk Timur Tengah.

Bertitah pada majlis pelancaran promosi masakan Perlis di Noodle Bowl Restaurant, Dubai semalam, baginda berharap promosi itu akan menjadi pemikat awal para pelancong Timur Tengah khususnya di Emiriah Arab Bersatu untuk terus menikmati keenakan lebih banyak makanan serta merasai keindahan negeri Perlis.

Antara tumpuan pelancong ke Perlis termasuk Gua Kelam yang merupakan terowong semula jadi sepanjang 370 meter dan merupakan satu daripada gua seumpamanya di dunia selain di Brazil.

Selain itu mereka juga boleh melawat Taman Negeri yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand yang kaya dengan keindahan semula jadi dan menjadi habitat beruk kentoi atau nama saintifiknya 'macaca artiodes' yang sukar ditemui di dunia.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kedudukan Perlis di lokasi berhampiran destinasi pelancongan lain seperti Pulau Langkawi dan selatan Thailand sudah pasti menjadikan Perlis sebagai lokasi berpotensi untuk disinggahi bagi menikmati keenakan makanan dan melawat lokasi pelancongan semula jadinya.

Baginda yang dalam rangka lawatan kerja ke Timur Tengah mengambil kesempatan mempromosikan masakan Perlis itu pada akhir lawatan selama seminggu itu dengan berharap Perlis menjadi destinasi yang perlu dilawati oleh para pelancong Timur Tengah.

Promosi masakan Perlis itu dilancarkan atas inisiatif baginda sendiri bagi setiap lawatan kerja baginda ke luar negara bagi membantu menarik kunjungan pelancong ke Malaysia khususnya Perlis.

Antara masakan yang dipromosikan adalah bihun goreng, sate dan roti jala.

Sebelum ini, promosi seumpamanya pernah diadakan di China, United Kingdom, Poland, Uzbekistan, Indonesia, Myanmar, Jepun, Qatar, Vietnam, Thailand, Australia, New Zealand dan Jerman.

Sementara itu, Pengurus Nooodle Bowl, Michael Teng berkata, pihaknya akan mempromosikan masakan Perlis selama sebulan di premis yang menjadi tumpuan warga Malaysia dan peminat masakan Malaysia itu.

Peniaga warganegara China berusia 44 tahun itu berkata, beliau menerima banyak pelanggan berbilang bangsa termasuk di kalangan rakyat Malaysia sejak menjalankan perniagaan itu tujuh tahun lepas.

Beliau yang pernah menetap beberapa tahun di Kuala Lumpur selepas berhijrah dari negara kelahirannya mendapati masakan Malaysia mendapat sambutan kerana keenakannya.

Peluang itu, menurutnya, digunakan sebaik mungkin dengan memilih Dubai sebagai lokasi perniagaan masakan Malaysia.

Kata Teng, beliau tidak menghadapi masalah mendapatkan pelanggan kerana premis perniagaannya sentiasa menjadi tumpuan terutama di kalangan rakyat Malaysia yang berada di Dubai. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment