My Add

Thursday 18 July 2013

Masih ada peniaga bazar Ramadan tak disuntik tifoid

KUANTAN, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Walaupun bazar Ramadan telah beroperasi selama seminggu, namun masih ada pengendali premis makanan bazar di bandar ini yang belum mengambil suntikan tifoid yang diwajibkan ke atas mereka.

Pegawai Kesihatan Daerah Kuantan, Dr. Amirullah Mohd. Arshad berkata, hasil pemeriksaan di dua lokasi bazar Ramadan di bandar ini petang semalam, lima pengendali makanan dikesan tidak mendapatkan suntikan tersebut.

Katanya, mereka telah diarahkan untuk mengambil suntikan tersebut pada hari ini dan sekiranya gagal berbuat demikian, kompaun akan dikenakan ke atas mereka.

"Sepatutnya suntikan tifoid (bagi mencegah demam kepialu) ini diambil seminggu sebelum bazar beroperasi, namun ada yang masih gagal berbuat demikian dan kita memandang serius perkara ini," katanya kepada pemberita selepas operasi keselamatan makanan oleh Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan di bazar Ramadan Mahkota Square dan Jalan Bukit Sekilau di sini, petang semalam.

Beliau kesalahan lain yang dikesan dilakukan pengendali makanan adalah memakai cincin dan gelang semasa mengendalikan makanan dan penyediaan bakul sampah dengan cara yang salah.

"Kita hanya beri nasihat dan panduan cara pengendaliannya yang betul, majoriti pengendali makanan di kedua-dua bazar Ramadan ini mematuhi peraturan yang telah kita tetapkan," katanya.

Dr. Amirullah berkata, operasi melibatkan 60 pegawai dari pejabat kesihatan itu turut mengedarkan 2,500 risalah mengenai cara yang betul mengendalikan makanan, tips mengenali makanan rosak dan sebagainya kepada pengendali makanan dan pengunjung. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment