My Add

Sunday 14 July 2013

Maut dirempuh, diseret motosikal

Oleh FARIK SALLEH

KOTA TINGGI , AHAD, 14 Julai, 2013: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh dan diseret sebuah motosikal lain di Kilometer 5, Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Panti di sini malam tadi.

Raman Yacob, 44, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala akibat dirempuh dan terjatuh sebelum diseret sejauh 20 meter di bahu jalan dalam nahas pukul 11.10 malam itu.

Menurut anak mangsa, Mohd. Rizuan Raman, 23, ketika kejadian ayahnya dalam perjalanan pulang selepas bertemu rakan di bandar.

"Saya berselisih dengan ayah sewaktu melalui perkuburan Kampung Temenin yang menunggang motosikal kesayangannya Honda C70 pukul 10.15 malam.

"Kami hanya berpandangan semasa berselisih. Saya dikejutkan dengan panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan ayah terlibat dalam kemalangan. Sebaik tiba di tempat kejadian saya lihat mayat ayah di bahu jalan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) hari ini.

Mohd. Rizuan memberitahu, difahamkan ayahnya telah dirempuh oleh sekumpulan empat remaja yang menunggang motosikal oleh salah seorang daripada mereka menyebabkan dia terjatuh dan diseret.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Nor Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

"Penunggang motosikal Honda Wave yang melanggarnya turut cedera dan kini dirawat di HKT," katanya sambil memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan berbahaya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment