My Add

Wednesday 17 July 2013

Mayat bayi perempuan dibuang depan masjid

KULAIJAYA, SELASA, 16 Julai, 2013: Jemaah Masjid Jamek Ar-Raudah, Saleng dekat sini dikejutkan dengan penemuan mayat bayi perempuan dalam keadaan berbalut dalam sebuah bakul yang ditinggalkan di hadapan pagar masjid itu.

Bayi itu ditemui seorang jemaah yang ingin menunaikan solat subuh lalu memeriksa bakul yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.

Saksi kejadian, Hassan Mohd. Tap, 63, memberitahu, jemaah itu kemudian terkejut apabila menemui mayat bayi perempuan sebelum bergegas memaklumkannya kepada jemaah lain.

"Saya melihat bersama mayat bayi itu terdapat nota meminta jemaah masjid ini supaya menyempurnakan jenazah anaknya selain disertakan sekeping duit RM50," katanya ketika ditemui di masjid itu hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada pukul 6.05 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati, bayi tersebut sudah meningggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk bedah siasat.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh dikenakan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment