My Add

Friday 19 July 2013

MCTC gesa kerajaan naikkan cukai eksais rokok

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) hari ini mengulangi gesaannya terhadap kerajaan supaya menaikkan cukai eksais rokok sekurang-kurangnya 50 peratus sebagai langkah mengurangkan jumlah penggunaan rokok dalam negara.

Ahli Majlis MCTC, Dr Norashidah Mohamed Nor, berkata berdasarkan kajian, kenaikan cukai eksais, dapat mengurangkan sehingga 20 peratus penggunaan rokok.

"Pada masa yang sama hasil cukai negara juga boleh naik sehingga 45 peratus," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Norashidah yang juga ahli ekonomi Universiti Putra Malaysia berkata, kadar cukai eksais yang dikenakan negara masih rendah berbanding negara-negara lain, iaitu hanya 45 hingga 48 peratus.

"Singapura mengenakan kadar sekitar 65 peratus," katanya.

Dr Norashidah menjelaskan jika cukai eksais itu dinaikkan, harga sekotak rokok premium dengan jumlah 20 batang akan naik kepada RM16 berbanding RM10.50 sekarang.

Namun pengkaji penggunaan tembakau itu berkata kawalan terhadap jenayah penyeludupan rokok juga perlu dilipatgandakan. 

"Ini kerana kenaikan cukai, mengakibatkan harga (rokok) naik, penyeludupan rokok juga akan naik untuk memenuhi permintaan rokok murah. Namun, perkara ini mungkin hanya propaganda pihak pembuat rokok yang menakutkan kerajaan untuk tidak menaikkan harga rokok," katanya.

Turut sependapat dengannya ialah Timbalan Presiden MCTC, Dr Mymoon Alias yang berkata langkah berkenaan juga sudah dibuktikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai strategi berkesan ke arah pengurangan penggunaan rokok.

Dalam perkembangan lain, Dr Mymoon berkata MCTC turut menggesa pihak kerajaan negeri mewartakan fatwa larangan merokok oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1995.

"Fatwa ini memutuskan bahawa merokok haram kerana terdapat kemudaratan. MCTC menggesa fatwa itu diwartakan di semua negeri," katanya. Setakat ini Melaka, Selangor, Kedah dan Perlis sudah mewartakannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment