My Add

Sunday 14 July 2013

Meremajakan institusi pekebun kecil

* KUMPULAN Koir Risda menyanyikan lagu Negaraku dan lagu patriotik pada Majlis Penyampaian Dividen Risda dan Pelancaran Program Generasi Muda Pekebun Kecil (GeMPeK) Peringkat Nasional di Pekan, Pahang, semalam.
PEKAN, SABTU, 13 Julai, 2013: RISDA telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan generasi muda pekebun kecil dan meremajakan institusi pekebun kecil.

Ketua Pengarah RISDA, Dato’ Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, antaranya penubuhan Kelab Generasi Muda RISDA yang setakat ini mempunyai keahlian seramai 13,337 orang.

“Turut ditubuhkan Briged Kerja dan pelaksanaan pelbagai aktiviti termasuk sukan dan kebudayaan, keusahawanan dan program sarapan pagi kasihi generasi muda.

“Pada hari ini, RISDA menyampaikan anugerah untuk generasi muda sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka menceburi dalam pelbagai bidang ke arah pembangunan masyarakat pekebun kecil dan negara," katanya pada majlis penyampaian dividen RISDA dan pelancaran Program Generasi Muda Pekebun Kecil (GeMPeK) Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Mohamad Zuki berkata, RISDA telah membangunkan seluas 19,306 hektar ladang getah dan sawit di bawah Rancangan Tanaman Baru Berkelompok (RTBB) melibatkan seramai 16,080 peserta.

Tanah di bawah projek RTBB berkenaan diuruskan oleh anak syarikat RISDA iaitu ESPEK Sdn. Bhd.

“Sementara itu, di bawah projek Tanam Semula Komersial (TSK) yang diurus oleh RISDA Plantation Sdn. Bhd., seramai 21,314 peserta terlibat melibatkan tanah seluas 38,508 hektar," katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu, RISDA telah berjaya menjana keuntungan daripada ladang-ladang berkenaan bagi membolehkan sejumlah RM193.5 juta dividen diagihkan kepada peserta terlibat.

Bayaran agihan itu katanya, merupakan hasil keuntungan terkumpul bagi Januari 2012 sehingga Jun lalu.

Di samping itu, beliau berkata, RISDA juga menyampaikan sumbangan sosial di bawah tanggungjawab sosial korporatnya kepada pertubuhan bukan kerajaan seluruh negara melibatkan jumlah sebanyak RM557,077. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment