My Add

Friday 12 July 2013

Mesir sukar bentuk kerajaan

  * RUBUAN penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi terus berkumpul di masjid Rabaa al-Adawiya, Nasr, di Kaherah, semalam menuntut tentera mengembalikan jawatan Mursi. - AFP
KAHERAH, KHAMIS, 11 Julai, 2013: Kepemimpinan baharu Mesir, hari ini menghadapi kesukaran untuk membentuk kerajaan sementara selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap ketua pergerakan Ikhwanul Muslimin.

Beribu-ribu penyokong Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi terus berkumpul di masjid Rabaa al-Adawiya, Nasr di sini walaupun tentera menolak desakan mereka untuk mengembalikan kuasa Mursi.

Bagaimanapun, mereka berikrar tidak akan bersurai sehingga Presiden yang dipilih secara bebas dikembalikan ke jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Ikhwanul Muslimin menolak tawaran Perdana Menteri sementara, Hazem al-Beblawi untuk menyertai kerajaan sementara dan menggesa satu demonstrasi besar-besaran membantah rampasan kuasa tentera yang menggulingkan Presiden Mohammed Mursi, diadakan esok.

Pergerakan Ikhwanul Muslimin kini dilaporkan berada dalam keadaan kucar-kacir selepas barisan kepemimpinannya ditahan, sementara beberapa orang yang lain melarikan diri atau menyembunyikan diri selepas Mursi digulingkan pada minggu lepas.

Polis kini mencari Pemimpin Agung Ukhwanul Muslimin, Mohamed Badie selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan semalam berhubung keganasan di Kaherah.

Badie dan beberapa pemimpin kanan pergerakan itu dikehendaki kerana menghasut pertempuran di sebuah kompleks tentera pada awal minggu ini yang menyebabkan 53 orang terbunuh, kata sumber kehakiman.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar, Badr Abdelatty berkata, Mursi kini ditahan di satu 'tempat selamat' bagi menjaga keselamatannya.

''Beliau masih belum didakwa atas apa-apa kesalahan,'' katanya.

Sumber tentera dan kehakiman berkata, Mursi tetap akan didakwa, namun tarikh dan pertuduhan terhadapnya masih belum ditentukan.

Dalam pada itu, Hazem yang memulakan perbincangan untuk membentuk barisan Kabinetnya, semalam bersedia menawarkan jawatan menteri kepada Ikhwanul Muslimin, lapor agensi berita MENA.

Bagaimanapun, waran tangkap ke atas Badie akan menyukarkan Hazem mendekati pergerakan tersebut. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment