My Add

Wednesday 10 July 2013

Mimos bangunkan sektor ICT Sudan

 * ABDUL Wahab Abdulah (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Dr. Osama Rayis (lima dari kiri) sambil disaksikan Dr. Ewon Ebin (tiga dari kiri) dan Khalid Abdelgadir Shukri (empat dari kiri) pada majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN
KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 213: Mimos Bhd., pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara, hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MOA) dengan Africa City of Technology (ACT) Sudan, untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama yang bertujuan membangunkan industri ICT Sudan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mimos, Datuk Abdul Wahab Abdullah berkata, usaha sama yang dijadualkan ditubuhkan dalam suku pertama tahun depan itu akan menyaksikan penglibatan Mimos sebagai mentor kepada ACT dengan perkongsian platform inovasi terbukanya untuk membantu Sudan memulakan industri ICT.

"Mimos akan menyediakan pelaburan teknologi manakala ACT akan mengadakan pelaburan modal," katanya kepada pemberita selepas upacara menandatangani MOA itu.

Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Operasi, Abdul Aziz Abd Kadir, menandatangani bagi pihak Mimos manakala ACT diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Dr. Osama Rayis, dengan disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin dan Duta Sudan ke Malaysia, Khalid Abdelgadir Shukri.

Abdul Wahab berkata, kerjasama ini akan melibatkan teknologi seperti perkhidmatan pengkomputeran awan awam, penyelesaian mini pengkomputeran awan bagi sektor pendidikan (e-pembelajaran), wifi jaringan dengan perkhidmatan awan di kawasan Khartoum dan penyelesaian pertanian jitu bagi rumah hijau mini.

Ini juga termasuk perkhidmatan pengkomputeran prestasi tinggi dan penyelidikan teknologi nano, katanya.

Abdul Wahab berkata, kerjasama itu merupakan situasi ’menang-menang’ kerana ACT akan meraih faedah daripada pengetahuan teknikal, pengalaman dan kepakaran yang dikongsi oleh Mimos, manakala industri-industri Malaysia boleh mendapat manfaat melalui peluang-peluang pasaran baharu di Sudan.

"Ini adalah perkongsian pertama kami dengan sebuah negara Afrika dan kami berharap Sudan akan menjadi rakan kongsi strategik kami untuk membantu kami membina jambatan ke negara-negara lain di benua Afrika," tegas beliau.

Sepanjang kewujudannya selama 25 tahun, Mimos telah berjaya memindahkan platform, produk dan penyelesaian teknologi kepada lebih 40 syarikat dalam enam segmen pasaran di Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment