My Add

Saturday 27 July 2013

Mohammed Mursi disoal siasat selama 15 hari

*  PENYOKONG Mursi duduk berhampiran poster bekas Presiden yang disingkirkan itu di kawasan Masjid Rabaa al-Adawiya di Kaherah pada 24 Julai lalu. - REUTERS
KAHERAH, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Pihak berkuasa Mesir menahan Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi selama 15 hari berhubung pelbagai tuduhan, termasuk pembunuhan anggota tentera dan berkonspirasi dengan kumpulan Palestin Hamas, lapor agensi berita milik kerajaan, hari ini.

Laporan itu dibuat hanya beberapa jam sebelum berjuta-juta rakyat Mesir daripada kedua-dua pihak, penyokong dan penentang Mursi turun ke jalanan dalam satu perhimpunan besar-besaran, hari ini.

Mursi ditahan tentera sejak digulingkan pada 3 Julai lalu, tetapi sebelum ini tidak berdepan dengan sebarang tindakan undang-undang.

Menurut laporan agensi berita MENA, hakim penyiasat, Hassan Samir telah mengemukakan bukti terhadap Mursi ketika menyoal siasat beliau, tanpa mendedahkan bila atau di mana soal siasat itu diadakan.

Tuduhan yang dikenakan terhadap Mursi termasuklah mencetuskan kebakaran, memusnahkan rekod penjara dan bekerjasama dengan Hamas untuk melakukan tindakan agresif di negara ini, selain menyerang kemudahan polis, pegawai dan tentera.

Sementara itu, penyokong dan penentang Mursi mula berhimpun hari ini bagi menyatakan pendirian masing-masing.

Kereta api dan kereta perisai tentera turut ditempatkan di sekitar Dataran Tahrir ketika sukarelawan mendirikan pos pemeriksaan untuk mengenal pasti peserta, dengan kain rentang besar pro-tentera digantung di seluruh kawasan tersebut.

Ketua Tentera, Abdel-Fattah al-Sissi telah menggesa rakyat Mesir mengadakan perhimpunan besar-besaran hari ini bagi memberi sokongan kepada tindakan kekerasan tentera dan disifatkan oleh Ihwanul Muslimin sebagai mencetuskan keganasan dan 'pengisytiharan perang'.

Tentera semalam turut memberi tempoh 48 jam kepada Ikhwanul Muslimin untuk berundur atau berdepan dengan kawalan ketat.

Pergerakan Islam itu bertegas mereka akan meneruskan tunjuk perasaan secara aman dan menuduh tentera serta polis mengupah samseng untuk menyerang mereka. - REUTERS/DPA/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment