My Add

Sunday 28 July 2013

Mohd. Noor tunai nazar jalan kaki ke Putrajaya 18 Ogos
BESUT, SABTU, 27 Julai, 2013: Seorang bekas anggota tentera yang bernazar mahu berjalan kaki dari Besut ke Putrajaya jika Barisan Nasional (BN) beroleh kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai lalu, akan menunaikan nazarnya pada 18 Ogos ini.

Mohd. Noor Mat, 47, yang kini merupakan kakitangan Pejabat Yayasan Islam Terengganu (YIT) Cawangan Besut, telah memulakan latihan sejak dua minggu lalu dengan berjalan sejauh 10 kilometer setiap hari di kawasan Pantai Bukit Keluang dan Pantai Air Tawar dekat sini.

Menurutnya, latihan itu sebagai persiapan untuk menempuh perjalanan sejauh kira-kira 600 kilometer ke Putrajaya yang dijangka berakhir pada 31 Ogos depan.

"Saya tiada masalah untuk menempuh perjalanan sejauh kira-kira 600 kilometer kerana telah melakukan persediaan untuk acara ini. Tidak lama lagi saya akan mula berlatih berjalan di jalan raya bagi membiasakan diri dengan laluan sebenar.

"Justeru, saya harap orang ramai dapat memberi kerjasama terutama pengguna jalan raya agar sentiasa berjaga-jaga dengan kehadiran saya sepanjang perjalanan ke sana nanti," katanya ketika ditemui selepas menjalani latihan di Pantai Air Tawar, dekat sini semalam.

Menurutnya, menjalani ibadat puasa tidak sedikit pun merencatkan usahanya itu, malah menambahkan semangatnya untuk membuktikan dia mampu melakukan sesuatu yang terbaik dan dapat menaikkan imej sebagai seorang ahli UMNO.

"Apa yang ingin saya lakukan ini adalah sebagai membuktikan semangat bahawa UMNO dan BN masih gagah dan terus menerajui pemerintahan Terengganu dan negara biarpun banyak halangan," ujarnya.

Pada hari penamaan calon yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Kuala Besut dekat sini pada 5 Julai lalu, Mohd. Noor melafazkan nazar untuk berjalan kaki dari Besut ke Putrajaya jika BN berjaya mengekalkan kemenangan di kawasan itu.

Mohd. Noor yang mempunyai tujuh anak berumur antara empat hingga 22 tahun itu sebelum ini pernah menyuarakan hasratnya kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di mana pemimpin itu turut bersetuju menyambut ketibaannya di Putrajaya sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-56.

Ditanya adakah dia mendapat mana-mana tajaan untuk acara itu, Mohd. Nor memberitahu, dia bertekad menunaikan hasrat tersebut tanpa atau dengan penaja.

Pada 2007, Mohd. Nor pernah mencatatkan sejarah bagi daerah Besut apabila menyahut cabaran Menteri Besar Terengganu ketika itu, Datuk Seri Idris Jusoh untuk berjalan kaki dari Kemaman hingga Besut.

Cabaran itu disahut Mohd. Nor bagi merealisasikan slogan yang cukup sinonim dan popular dengan kerajaan negeri ketika itu iaitu 'Tiada Halangan Hanya Peluang' dan 'Memahat Sejarah Mencipta Tamadun'.

Hasratnya itu turut mendapat reaksi dan sokongan ramai apabila seramai 35 peserta yang mewakili pelbagai jabatan kerajaan bersetuju menyertai Program Berjalan Kaki Sempena Sambutan 50 tahun Kemerdekaan negara ketika itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment