My Add

Friday 12 July 2013

MTEM minta MITI beri penerangan jelas mengenai TPPA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 Julai , 2013:Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mahu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberikan jawapan balas dengan lebih serius, berhubung persoalan hasrat Malaysia ingin terlibat di dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nizam Mahshar berkata, meskipun kementerian itu pernah mengeluarkan beberapa jawapan balas sebelum ini, namun jawapan yang diberikan tidak meyakinkan.

"Kami tidak menolak hasrat Malaysia untuk menyertai TPPA. Tetapi kementerian itu perlu memperjelaskan kepada rakyat bagaimana penglibatan negara di dalam TPPA mampu membawa faedah.

"Setakat ini, jawapan balas oleh MITI terlalu umum," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar khas oleh MTEM mengenai TPPA, di sini hari ini.

Perbincangan bagi membentuk TPPA melibatkan 12 negara kini telah memasuki pusingan yang ke-17. Pusingan ke-18 akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dari 15 Julai hingga 25 Julai ini.

Dijangka TPPA bakal dimuktamadkan menjelang Oktober 2013.

Antara negara terlibat ialah Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan terbaharu Jepun.

Tambah Mohd. Nizam, beberapa siri perjumpaan pernah diadakan antara pihaknya dan MITI yang turut dihadiri Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Mustapa mudah dibawa berbincang dan memahami situasi TPPA. Namun, kementerian masih lagi meneruskan perbincangan bagi membentuk perjanjian itu. Diharapkan mereka menarik diri," katanya lagi.

Katanya, antara kerisauan MTEM mengenai TPPA ini adalah dakwaan bahawa perjanjian itu akan melanjutkan hak cipta ubat-ubatan yang boleh menyebabkan kos perubatan meningkat.

Selain itu, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pembukaan kontrak kerajaan kepada syarikat asing yang selama ini sering diutamakan kepada bumiputera, katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment