My Add

Wednesday 17 July 2013

MTUC kecewa pengecualian umur persaraan minimum

SUBANG, SELASA, 16 Julai, 2013: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kecewa dengan keputusan Kementerian Sumber Manusia memberi pengecualian umur persaraan minimum kepada 258 syarikat termasuk syarikat besar berkuat kuasa 1 Julai lalu hingga 31 Disember 2013.

Presidennya, Khalid Atan berkata, pihaknya membantah keputusan tersebut yang dilihat membelakangkan pekerja dan kesatuan walaupun menggunakan kuasa menteri di bawah seksyen 18, Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

"Keputusan yang dibuat adalah hanyalah unilateral (satu pihak) yang mengetepikan dasar semangat perbincangan dalam platform rundingan tripartisme antara kerajaan, majikan dan pekerja.

"Kita juga menafikan bahawa MTUC pernah bersetuju mana-mana permohonan bagi pengecualian berkenaan secara automatik," katanya dalam sidang akhbar membantah pengecualian umur persaraan minimum yang diwartakan kerajaan pada 28 Jun lalu, di sini hari ini.

Tambah Khalid, keputusan itu tidak melalui jawatankuasa penilaian yang ditubuhkan kementerian sendiri untuk menyemak permohonan syarikat dengan garis panduan yang ditetapkan bagi melihat sama ada wajar atau tidak mendapat kelulusan.

"Pengecualian yang diberi selama enam bulan itu dijangka memberi impak kepada 2,500 pekerja. Implikasinya pekerja ini akan digaji sebagai pekerja kontrak, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya 60 peratus, faedah kerja lebih rendah dan lain-lain," katanya.

Sehubungan itu, katanya, MTUC terdiri daripada semua pemimpin kanan dan ahli majlis am akan membuat piket di hadapan Kementerian Sumber Manusia pada 23 Julai, pukul 8.30 pagi dan menyerahkan memorandum bantahan kepada kementerian itu.

"Kita juga akan menyerahkan salinan memorandum bantahan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membantu menyelesaikan isu ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment