My Add

Saturday 13 July 2013

Muhyiddin cabar Pas buktikan dasar BN bercanggah dengan Islam

JERTIH, SABTU, 13 Julai, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Pas yang menuduh dasar perjuangan Barisan Nasional (BN) bercanggah dengan ajaran dan landasan Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, banyak usaha yang dipelopori kerajaan BN termasuk dalam soal perumahan di negara ini adalah selaras dengan tuntutan agama dan semestinya dituntut oleh Islam.

"Orang cabar kita, ada parti politik kata apa yang dibuat UMNO tidak selaras dengan Islam, UMNO berjuang tak berlandaskan Islam.

"Soal akidah ini perkara berat, tuduh orang Islam buat sesuatu yang bertentangan dengan agama. Saya tak boleh nak sebut apa hukumnya," katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan peletakan batu asas pangsapuri mampu milik empat tingkat di Kampung Lay Out Tok Sabah, Kampung Besut, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Pendidikan Kedua yang juga Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Projek perumahan itu membabitkan pembinaan 72 unit rumah mampu milik membabitkan kos RM10.3 juta untuk mangsa ombak besar di Kampung Atap, di sini.

Muhyiddin berkata, pengundi diminta supaya tidak terpedaya dengan tuduhan yang dilemparkan parti pembangkang terhadap BN. 

"Yang betul cakap, yang baik cakap baik. Ini tak betul dikatakan betul hanya kerana parti lain. Kalau tiba pilihan raya kecil ini, sokong sajalah BN, tak salah," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar perjuangan BN tidak membezakan golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.

"BN tak bezakan, hanya kerana miskin kita abaikan, golongan tak mampu kita tinggalkan, mereka yang susah dan tidak terbela, itu bukan dasar BN," katanya. = BH

No comments:

Post a Comment