My Add

Sunday 14 July 2013

Muhyiddin: Perumahan rakyat agenda utama kerajaan

 * MUHYIDDIN Yassin sambil diperhatikan Ahmad Said meletakkan batu asas sebagai simbolik Majlis Perasmian Pecah Tanah dan Peletakan Batu Asas Pangsapuri Mampu Milik di Kampung Lay Out, Tok Saboh, Besut, Terengganu, semalam.
BESUT, SABTU, 13 Julai, 2013: Kerajaan akan terus melaksanakan program peningkatan kesejahteraan rakyat termasuk pembangunan sejuta unit rumah sebagai satu agenda terpenting bagi memenuhi keperluan dan menangani masalah kehidupan mereka

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah seperti itu merupakan salah satu tuntutan agama dan beliau mencabar pihak-pihak yang memfitnah kononnya apa yang dilakukan bercanggah dengan Islam agar membuktikannya.

''Sejuta rumah akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun seperti yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN),'' katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pecah Tanah dan Peletakan Batu Asas Pangsapuri Mampu Milik di Kampung Lay Out, Tok Saboh dekat Kuala Besut hari ini.

Menurutnya, usaha itu memperlihatkan komitmen tinggi kerajaan BN membela nasib rakyat menerusi amal kebaikan demi kesejahteraan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira parti dan kedudukan.

Kata beliau, langkah kerajaan menyediakan kemudahan tempat tinggal untuk rakyat juga bertujuan membantu meringankan beban mereka berikutan peningkatan kos yang dikenakan pihak swasta.

Muhyiddin seterusnya mencabar pihak tertentu yang sering memfitnah terhadap kerja kebaikan yang dilakukan kerajaan BN.

"Ini adalah dasar yang diamalkan kerajaan BN untuk membela rakyat selaras dengan tuntutan agama. Kalau ada pihak dalam parti politik atau komponen tertentu kata bahawa dasar BN tak selaras dengan Islam, saya cabar mereka.

"Banyak yang telah dipelopori kerajaan BN termasuk perumahan yang dilakukan mengikut tuntutan Islam dan pelbagai lagi bantuan lain yang disediakan kerajaan untuk rakyat," katanya.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Abd Rahman Dahlan; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Yang hadir sama, calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya memuji inisiatif kerajaan Terengganu untuk menyediakan rumah kediaman secara percuma kepada 72 keluarga di Kampung Lay Out, Tok Saboh itu.

Beliau berkata, berdasarkan projek itu, sebanyak 72 unit kediaman pangsapuri akan dibina di situ yang melibatkan kos RM10.3 juta.

Dalam pada itu, projek pangsapuri mampu milik empat tingkat itu telah bermula April lalu dan dijangka siap sepenuhnya April 2015. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment