My Add

Thursday 18 July 2013

Muhyiddin tempelak Marino

Oleh ZULHISHAM ISHAK

PAGOH, RABU, 17 Julai, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino yang cuba mencampuri urusan dalaman negara ini berhubung isu kalimah Allah.

Menurut beliau, perbuatan duta berkenaan tidak wajar kerana rakyat Malaysia sudah mengetahui bahawa Allah adalah nama rasmi Tuhan kepada umat Islam.

"Soal kalimah Allah ni, Duta Vatican City yang baru sampai pun sudah berani sokong satu pihak yang memperjuangkan kalimah Allah.

"Kita sebagai umat Islam tahu Allah itu Esa, Allah itu Tuhan kita dan tidak ada orang lain (penganut agama lain) yang boleh guna (kalimah Allah) kecuali orang Islam," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa Serta Penyampaian Sumbangan Untuk Surau dan Masjid Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Paya Redan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed serta ADUN Jorak, Datuk Shahrudin Md. Salleh.

Marino dalam wawancara pertamanya dengan sebuah portal berita di negara ini Khamis lalu, menyokong pendirian gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mempersoal tindakan Marino yang disifatkan sengaja tidak mahu memahami agama, budaya dan adat resam masyarakat negara ini selain mempunyai motif membangkitkan perasaan kebencian bukan Islam terhadap Islam.

Katanya, tindakan tersebut dibuat supaya Islam dilihat dengan pandangan serong dan penganut agama lain menilai Islam sebagai agama yang tidak toleran, tidak berbudaya dan mempromosi keganasan.

"Itu ada dalam kempen-kempen di banyak negara Barat, melihat Islam sama dengan keganasan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment