My Add

Tuesday 23 July 2013

Najib agih bubur lambuk Ramadan iM4U di Shah Alam

 NAJIB Tun Razak meluangkan masa menyampaikan bubur lambuk dalam Majlis Pengedaran Bubur Lambuk iM4U di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, semalam. Turut serta Irmohizam Ibrahim (kiri). - BERNAMA
SHAH ALAM, ISNIN, 22 Julai, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak turun padang bersama-sama sukarelawan1Malaysia For Youth (iM4U) mengagihkan bubur lambuk kepada para pengunjung di Bazar Ramadan Seksyen 13, di sini petang ini.

Perdana Menteri yang tiba pada pukul 5 petang mengambil masa kira-kira 20 minit menyerahkan bubur lambuk kepada orang ramai yang beratur panjang seawal pukul 4.30 petang.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, Shah Alam merupakan lokasi pertama pengagihan bubur lambuk bagi program Ramadan iM4U itu.

Beliau berkata, sempena bulan Ramadan, sukarelawan iM4U melalui program Cook4U bersama-sama memasak bubur lambuk untuk diedarkan di sebanyak 112 lokasi bazar Ramadan terpilih di seluruh negara.

"Sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk disediakan bagi diedarkan di sekitar Shah Alam dan kita amat bertuah kerana hari ini, Perdana Menteri sendiri turun padang mengagihkan bubur lambuk tersebut.

"Resipi bubur lambuk yang didatangkan dari Mekah ini dimasak penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak subuh tadi dan alhamdulillah mereka sempat menyiapkannya," katanya kepada pemberita dalam program itu.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan penyanyi rock, Amy Search.

Irmohizam yang juga Ahli Lembaga Exco iM4U berkata, program pengagihan bubur lambuk tersebut merupakan inisiatif memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan golongan muda untuk bersama-sama masyarakat dan mengimarahkan Ramadan dengan kegiatan amal.

"Sepanjang bulan Ramadan ini juga, iM4U turut mengadakan program tadarus al-Quran manakala kumpulan iM4U Perodua Street Team mengagihkan buah kurma kepada orang ramai," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment