My Add

Wednesday 24 July 2013

Nampak tangan Nadia terkapai-kapai

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
 
 * GAMBAR yang sempat dirakam menggunakan telefon bimbit Athafis Amin sejurus sebelum empat daripada mereka termasuk Athafis mati lemas ketika mencari kepah di Sungai Melaka, Ahad lalu iaitu Hanis Balkis Fadzli (kanan), abangnya, Mohd. Hazimi (belakang) dan Radziatul Nadia Rosnan (tiga dari kiri).
MELAKA, SELASA, 23 Julai, 2013: Salah seorang daripada empat kanak-kanak yang terselamat dalam kejadian lemas di sungai berhampiran Taman Seri Krubong di sini kelmarin, Muhd. Khuzaimi Abdul Rahim, 11, hanya mampu melihat sepupu dan rakannya terkapai-kapai sebelum hilang dari pandangan.

Lebih menyayat hati salah seorang mangsa yang lemas dalam kejadian itu, Athafis Amin, 10, sempat mengambil gambar menggunakan telefon bimbit miliknya dari tebing yang menyaksikan tujuh rakan mereka sedang berendam di sungai itu.

Menceritakan pengalaman tragis itu, Muhd. Khuzaimi berkata, dia bersama rakan yang lain melalui sebuah rumah tinggal yang merupakan jalan pintas ke sungai itu untuk mandi dan mencari kepah kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, selain dia dan adiknya, Nurul Alia Maisarah, 9, turut serta ialah dua sepupunya, Hanis Balkis Fadzli, 7; Mohd. Hazimi, 9, dan Hanis Humaira, 6.

Tiga lagi rakannya yang turut sama ialah Radziatul Nadia Rosnan, 12, Athafis dan adiknya, Atmizi, 8.

"Kami mencari kepah dan berendam berhampiran tepi tebing sungai. Athafis ketika itu sempat mengambil gambar kami bertujuh.

"Selepas itu seorang daripada kami mula bergerak ke tengah sungai diikuti yang lain, namun selepas terasa air semakin dalam sehingga sampai ke paras pinggang saya, Sarah bersama Humaira dan Atmizi kembali ke tebing sungai.

"Sebaik sahaja saya menoleh ke belakang, saya tidak nampak yang lain kecuali melihat tangan Nadia terkapai-kapai sebelum hilang beberapa minit kemudian," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Krubong hari ini.

Muhd. Khuzaimi berkata, yang turut hilang selain Nadia ialah Mohd. Hazimi, Hanis Balkis dan Athafis.

Katanya, dia mengarahkan adiknya Nurul Alia Maisarah, Atmizi dan Humairah pulang ke rumah untuk meminta bantuan sementara dia menunggu di sungai itu.

Katanya, kira-kira 30 minit selepas itu ibunya, Noraida Abdul Mutalib, 31, datang bersama ibu Radziatul Nadia iaitu Norizan Zainal, 40.

"Saya betul-betul menyesal kerana pergi ke sana tanpa pengetahuan keluarga, inilah kali pertama saya mandi di sungai itu, mana saya tahu akan jadi begini kepada sepupu dan rakan-rakan saya," katanya.

Mayat kesemua mangsa ditemui oleh anggota penyelamat dan Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan Jalan Kubu antara pukul 5.50 hingga 6.02 petang kejadian. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment