My Add

Friday 19 July 2013

Norhayati tetap untung walaupun jual kuih 10 sen
* NORHAYATI Mohamad menunjukkan juadah yang dijual, jemput-jemput jagung berharga 10 sen sebiji di Stadium Darulaman, Kedah, kelmarin.
ALOR SETAR, KHAMIS, 18 Julai, 2013:  Selama 19 tahun harga kuih-muih yang dijual oleh seorang peniaga di bazar Ramadan di pekarangan Stadium Darul Aman di sini tidak pernah berubah iaitu 10 sen sebiji walaupun harga barangan keperluan asas seperti tepung dan gula semakin meningkat.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Norhayati Mohamad, 51, tidak pernah menaikkan harga kuih-muih yang dijualnya dan dengan harga semurah itu dia masih memperoleh keuntungan.

Katanya, antara kuih-muih yang dijual di gerainya pada Ramadan tahun ini ialah donat, cucur jagung, buah Melaka, mini burger dan masak lodeh yang kebanyakannya dibuat sendiri dengan bantuan anak-anak.

"Selalunya saya jual dalam bentuk pakej iaitu 10 biji kuih-muih dengan harga RM1 dan setiap hari sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan.

"Saya sengaja jual dengan harga murah kerana tidak mahu pelanggan rasa terbeban dengan kos makanan yang semakin meningkat dan selain berniaga, dapat juga saya beramal pada bulan Ramadan ini dengan bersedekah melalui harga kuih-muih yang murah," katanya ketika ditemui di bazar Ramadan di pekarangan Stadium Darul Aman di sini semalam.

Menurut Norhayati, dia hanya berniaga kuih-muih pada bulan Ramadan di bazar kerana mempunyai perniagaan sendiri membekalkan kuih-muih dalam majlis kenduri di sekitar negeri Kedah.

"Setiap hari sepanjang Ramadan saya dan anak-anak akan berjaga selepas waktu sahur untuk menyiapkan kuih-muih.

"Lepas siap semuanya, kami buka gerai di bazar bermula pukul 3 petang hingga 6 petang setiap hari sepanjang Ramadan," ujarnya.

Menurut beliau, walaupun ada pelanggan yang mempersoalkan saiz kuihnya yang kecil, baginya harga yang dikenakan berpatutan dengan saiz kuih yang dijual.

"Kalau kita letak duit syiling 10 sen dengan kuih yang saya jual mesti kuih saya yang lagi besar jadi saya rasa saiz tak penting.

"Yang penting rasa kuih yang saya jual masih enak dan ramai pelanggan memuji rasa kuih yang saya buat sendiri ini," jelasnya.

Mereka yang ingin menikmati kuih-muih yang dibuat sendiri oleh Norhayati, boleh berkunjung ke gerainya di bazar Ramadan di pekarangan Stadium Darul Aman di sini atau menempah di talian 017-4083895. - UTUSAN  

No comments:

Post a Comment