My Add

Tuesday 16 July 2013

Norway puji fokus Malaysia

 
KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Julai, 2013: Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) Malaysia telah diberi pujian oleh Norway.

Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide (gambar) berkata, adalah amat penting bagi Malaysia untuk mempunyai fokus strategik seperti itu, untuk mencapai sasaran negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menyifatkan Malaysia sebagai sebuah lokasi di mana perniagaan mudah dijalankan, beliau merujuk kepada Laporan Bank Dunia 2013, di mana ia disenaraikan di tempat ke 12 negara yang paling mesra perniagaan dunia, dan yang pertama dari segi kemudahan mendapat pembiayaan.

"Ini mengukuhkan lagi usaha Malaysia untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Eide berada di sini sebagai sebahagian daripada 'Lawatan Asia' yang termasuk Brunei dan Indonesia.

Beliau juga berkata, kepelbagaian budaya dan bakat Malaysia telah dikenali ramai dan ini menjadikan sasaran tersebut lebih mudah dicapai.

"Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia meningkat setiap tahun.

"Apabila KDNK sesebuah negara meningkat setiap tahun, ia adalah sesuatu yang bagus, kerana lebih ramai rakyat bergerak daripada golongan kelas bawahan ke kelas pertengahan dan seterusnya," tambah beliau.

Beliau berkata bagaimanapun, ini bermakna Malaysia harus terus berubah, kerana salah satu isu sebagai negara berpendapatan rendah, tentunya adalah tenaga kerja yang murah.

"Apabila KDNK meningkat, Malaysia tidak lagi mempunyai tenaga kerja yang murah, ini bermakna negara ini perlu mengusahakan satu kelainan, seperti keperluan untuk lebih automasi, kurang manual, atau mungkin bergerak dari satu sektor ke satu sektor," tambahnya.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.1 peratus pada 2012 dan anggaran pertumbuhan antara 5.0 hingga 6.0 peratus tahun ini.

KDNK Malaysia berkembang 4.1 peratus pada suku pertama tahun ini, disokong , oleh permintaan tempatan yang lebih kukuh, yang berkembang 8.2 peratus pada tempoh yang sama.

Mengenai transformasi Norway daripada sebuah negara miskin kepada salah satu negara terkaya dunia, Eide berkata, tadbir urus yang baik adalah bahagian paling utama dalam proses ini.

"Norway sebelum ini adalah sebuah negara miskin, berbanding lain-lain negara Eropah.

"Tetapi kami berjaya keluar dari keadaan itu, dengan mendalami perniagaan maritim, stesen jana kuasa tenaga hidro dan industri berat berasaskan stesen jana kuasa, dan berjaya bergerak ke arah menjadi negara berpendapatan pertengahan dan tinggi.

"Kini, kami adalah salah satu negara terkaya dunia," tambah beliau.

Menyentuh tentang hubungan dua hala dengan Malaysia, beliau berkata, hubungan selama 42 tahun dijangka terus membuahkan hasil kerana komuniti perniagaan Norway di negara ini berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Setakat 2012, eksport Norway ke Malaysia berjumlah RM682 juta, sementara import dicatatkan pada RM940 juta. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment