My Add

Saturday 27 July 2013

Nur Misuari ugut serang Sabah

Oleh NORAZRIN MARZUKI dan ILAH HAFIZ AZIZ

 Nur Misuari
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari mengugut untuk melancarkan serangan ke atas Sabah jika kerajaan Filipina menghalang cita-citanya untuk memerdekakan sebahagian wilayah di selatan negara itu sekali gus dilantik sebagai Presiden Bangsamoro dan Perdana Menteri yang memerintah Mindanao.

Menurut sumber, Misuari masih berdegil untuk meneruskan rancangannya memerdekakan beberapa wilayah iaitu Pulau Basilan, Kepulauan Sulu, Tawi-Tawi, Mindanao dan sebahagian dari kepulauan Borneo dalam satu majlis yang berlangsung di Jolo, Kepulauan Sulu petang semalam walaupun telah beberapa kali cuba dihalang pihak berkuasa negara itu.

Sumber itu berkata, bagaimanapun penduduk Sabah tidak perlu bimbang dengan ancaman ugutan tersebut kerana buat masa ini Misuari dikesan masih berada di Bandar Zamboanga berikutan sekatan dan kawalan ketat yang dilakukan pihak berkuasa Filipina dan Malaysia.

Sumber berkata, malah pemimpin MNLF itu sendiri dilaporkan gagal muncul pada majlis tersebut dipercayai bimbang akan ditangkap pihak berkuasa Filipina.

"Mengikut perancangan Misuari, dia sepatutnya hadir dalam majlis tersebut untuk menabalkan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri di wilayah Mindanao.

"Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian apabila dia tidak muncul dalam majlis sambutan yang dijadualkan berlangsung pada petang semalam disebabkan sekatan yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa dan kerajaan Filipina ke atasnya bagi mengelakkan dia memasuki kepulauan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysiadi sini hari ini.

Menurut sumber lagi, kelmarin, kira-kira 3,000 pengikut Misuari dengan sebahagian daripada mereka membawa senjata api sudah pun berhimpun di Jolo untuk memberi sokongan terhadap pelantikannya.

Sumber memberitahu, pada 13 Julai lalu, Misuari dilaporkan telah menganjurkan perhimpunan khas di Lampaki dan Talipao bagi meyakinkan pengikutnya yang rata-rata terdiri dari umat Islam Moro kononnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi persetujuan untuk membantu memerdekakan Mindanao.

"Misuari telah diberi amaran keras oleh kerajaan Filipina supaya membatalkan rancangannya serta mengarahkan pengikutnya tidak memasuki kepulauan tersebut dengan membawa senjata.

"Difahamkan pihak berkuasa negara itu juga telah menambah jumlah kekuatan anggota dan pegawai di sekitar Patikul, Indanan, Maimbung dan beberapa lagi kawasan di selatan Filipina bagi mengelakkan penyokong Misuari khususnya kumpulan bersenjata daripada masuk ke Kepulauan Sulu," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment