My Add

Sunday 14 July 2013

OKU terselamat rumah terbakar

Oleh AZELI ALI

 * PASUKAN Penyiasat Forensik Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan siasatan terhadap lima buah rumah yang hangus dalam kebakaran di Kampung Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang, semalam.
BUTTERWORTH, SABTU, 13 Julai, 2013: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) diselamatkan oleh ahli keluarga dan jiran-jiran selepas rumah kediamannya dijilat api di Kampung Bagan Dalam di sini hari ini.

Kebakaran kira-kira pukul 7.40 pagi itu turut memusnahkan empat rumah lain yang dihuni lima keluarga namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Salah seorang mangsa, Norhayati Ali, 50, memberitahu, ketika kejadian dia dan seorang adiknya keluar bekerja di sebuah kilang berhampiran.

"Semasa kejadian hanya ada ibu saya berusia 72 tahun bersama seorang adik saya yang kurang upaya dan seorang anak saudara di rumah.

"Saya terima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan rumah saya terbakar lalu bergegas pulang kerana bimbang sesuatu berlaku kepada ibu dan adik saya, namun bersyukur mereka semua selamat," katanya.

Dia mendakwa mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila rumah pusaka keluarganya berusia lebih 60 tahun itu musnah termasuk pelbagai barangan berharga yang berada di dalamnya.

Seorang lagi mangsa, Anuar Aziz, 45, memberitahu, api merebak begitu pantas sehinggakan kesemua mangsa gagal menyelamatkan barangan mereka.

"Ketika kejadian, saya di tempat kerja dan masa saya sampai pun api sudah berjaya dipadamkan oleh bomba.

"Rumah yang terbakar ini pusaka peninggalan arwah ayah saya dan kini saya dan abang terpaksa menumpang rumah saudara mara buat sementara waktu," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Mohd. Khalil Abdul Rahim berkata, lebih 40 anggota dari Balai Bomba Butterworth dan Perai dibantu Pasukan Bomba dan Penyelamat Penang Port dan pasukan bomba sukarela bertungkus lumus memadamkan kebakaran.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal api daripada merebak ke beberapa rumah lain yang terletak bersebelahan antara satu sama lain.

"Rumah di kawasan ini dibina terlalu rapat dan kebanyakannya rumah kayu, sebab itulah api merebak dengan begitu cepat.

"Nasib baik kita bertindak cepat untuk mengawal api daripada terus merebak ke rumah lain, kalau tidak mungkin lebih banyak rumah akan musnah," katanya.

Kebakaran itu melibatkan kerugian harta benda bernilai kira-kira RM200,000 dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment