My Add

Sunday 14 July 2013

Orang tengah kaut untung

Oleh SOFIAN BAHAROM
 
 
* SEORANG peniaga, Abdullah Muhamad menyediakan ayam black pepper berharga RM18.00 seekor di Bazar Ramadan, Seksyen 6, Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR, SABTU, 13 Julai, 203: Kebenaran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengimport bahagian-bahagian ayam dari China tidak akan menurunkan harga ayam yang kini naik mendadak.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, aktiviti mengaut keuntungan yang ditunjangi golongan orang tengah akan terus berlaku dan berkemungkinan harga ayam bertambah tinggi selepas kebenaran import berkenaan.

"Siapa akan menjadi pengimport dan penjual bahagian-bahagian ayam dari China itu? Sudah tentu orang tengah, jadi adakah kenaikan harga ayam ini mampu dibendung? Sudah tentu tidak.

"Ini merupakan masalah utama pasaran ayam, orang tengah mengawal harga. Semua cerita dongeng permintaan ayam meningkat kini adalah sampah belaka, sekarang adalah musim puasa, bermakna orang tidak makan banyak, jadi permintaan tidak tinggi," katanya di sini hari ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani semalam membenarkan bahagian-bahagian ayam dari China diimport berkuat kuasa serta-merta selepas negara itu diisytihar bebas penyakit selesema burung atau H9N7.

Selain itu, penternak ayam tempatan juga meningkatkan pengeluaran daripada kira-kira 1.4 juta ekor ayam sehari kepada 2.2 hingga 2.4 juta ekor sehari untuk memenuhi permintaan tinggi menjelang perayaan Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran menyambung import bahagian ayam dari China bakal mengurangkan kebergantungan terhadap ayam tempatan sekali gus membantu menurunkan harga ayam yang melonjak.

Mengulas lanjut, Sha'ani berkata, kementerian perlu mewujudkan prasarana pemasaran di seluruh negara bagi mengimport dan mengagihkan ayam dari China berkenaan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Jelas beliau, prasarana itu dapat membantu penjual untuk tidak bergantung kepada golongan orang tengah di samping memberi kemudahan kepada pihak berkuasa dan pengguna memantau harga ayam daripada naik mendadak.

"Pasaran dikawal orang tengah, jadi selagi mereka terus berkuasa, maka segala pendekatan kerajaan dalam menurunkan harga ayam akan menjadi sukar," katanya.

Perkara sama ditekankan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George yang menyatakan taktik orang tengah itu perlu dipandang serius pihak berkuasa.

"Kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap golongan orang tengah ini dengan menyenaraihitam syarikat yang menaikkan harga tanpa sebarang justifikasi. Pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini juga perlu ditarik lesen mereka dan membuka lesen kepada golongan ketiga untuk mengimport ayam," katanya.

Tegasnya, tindakan itu dapat melicinkan proses penjualan ayam selain memberi amaran keras kepada golongan yang mempergunakan pengguna untuk kepentingan masing-masing. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment