My Add

Wednesday 17 July 2013

Ordinan Darurat: Undang-undang baharu dibincang - PM

PUTRAJAYA, RABU, 17 Julai, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan membincangkan pelbagai pandangan mengenai keperluan menggubal satu rang undang-undang baharu menyamai Ordinan Darurat 1969 (EO) yang dimansuhkan pada 2011.

Beliau berkata, perbincangan itu akan merujuk kepada pandangan polis bahawa rang undang-undang baharu itu akan dapat membendung jenayah.

Katanya ada pihak yang mahu supaya dibenarkan aspek penahanan untuk pencegahan atau 'preventive detention'.

Walaupun ada yang tidak bersetuju, namun menurut Perdana Menteri, apa yang penting dalam sebarang perundangan ialah perlu ada keseimbangan dalam melindungi hak individu, di samping menjaga kepentingan masyarakat.

"Ia juga perlu memastikan tidak berlaku salah guna kuasa oleh mana-mana pihak. Ini proses perbincangan yang akan kita lakukan," katnya dalam satu persidangan media di bilik mesyuarat khas pejabatnya di sini.

Katanya, di samping mendapatkan pandangan polis dan Peguam Negara, kerajaan juga akan mengambil kira pendapat beberapa pihak yang berkepentingan dalam soal itu seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam.

Awal bulan ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan sedang berbincang dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung draf rang undang-undang baharu itu berkata, ekoran pemansuhan Ordinan Darurat 1969, lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan dan mereka kembali melakukan aktiviti jenayah.

Menjawab satu soalan, Perdana Menteri berkata:

"Ini bukan untuk berpatah balik, kita mahu mengekalkan bahawa usaha memerangi jenayah adalah berkesan tetapi pada masa sama kita perlu memastikan kebebasan individu dan tiada penyalahgunaan kuasa."

Sementara itu, merujuk kepada tindakan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membatalkan keputusan pilihan raya baru-baru ini Najib berkata negara, ini mempunyai undang-undang dan sesiapa juga boleh mengambil apa jua tindakan berlandaskan proses undang-undang negara.

Isnin lepas tiga parti pembangkang dan lima individu memfailkan saman terhadap SPR bagi memohon deklarasi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Mei lepas yang diumumkan SPR bagi kesemua 222 kerusi Parlimen adalah batal dan tidak sah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment