My Add

Tuesday 9 July 2013

Pahang tingkat kawalan hutan elak diceroboh

KUANTAN, SELASA, 09 Julai, 2013: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri memandang serius kegiatan menarah bukit dan penggondolan hutan secara haram, dan akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani perkara berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu juga akan dibincangkan secara menyeluruh dalam mesyuarat exco kerajaan negeri esok.

Bagaimanapun beliau masih menyifatkan penggondolan hutan dan dan penarahan bukit di Pahang tidaklah seburuk seperti mana yang berlaku di negeri-negeri lain yang dikuasai parti pembangkang.

"Kita mahu wakil rakyat baik daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang sentiasa bekerjasama dan membantu menangani isu menarah bukit dan menggondol hutan di kawasan tanah tinggi.

"Di Cameron Highlands misalnya, secara relatifnya lebih baik berbanding daripada perkara yang sama berlaku di negeri pembangkang," katanya pada Persidangan Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) mengenai langkah kerajaan bagi mengawal penarahan bukti dan penggondolan hutan di negeri ini.

"Saya juga kerap membuat pemantauan udara menggunakan helikopter bagi meninjau perkara ini di sekitar Cameron Highlands dan mendapati penarahan bukit ini berleluasa kerana ada pihak yang tidak beretika langsung.

"Kita sebenarnya dari semasa ke semasa mengambil tindakan penguatkuasaan menerusi akta yang diperuntukkan seperti Akta Perhutanan Negara 1984 dan Akta Pemuliharaan Tanah 1960.

"Masalah yang kita hadapi ialah kurang kakitangan untuk meningkatkan penguatkuasaan dan peralatan," katanya.

Menteri Besar berkata, lokasi yang jauh ke pedalaman dan kedudukan geografi juga antara faktor menghalang agensi penguatkuasa mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan isu itu dapat ditangani lebih awal dan mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba merosakkan alam sekitar.

Menjawab soalan tambahan Leong Ngah Ngah (DAP-Tanah Rata) mengenai modus operandi mereka terbabit, Adnan berkata pihak tidak bertanggungjawab itu menarah bukit pada sebelah malam kerana yakin tiada jabatan yang bertanggungjawab akan membuat penguatkuasaan.

"Memang kegiatan haram biasanya dibuat pada sebelah malam, tetapi dengan adanya kerjasama daripada wakil rakyat kita boleh menangani masalah ini dan memelihara Cameron Higlands.

"Jadinya, lebih baik kita semua (wakil rakyat) sama-sama membantu pihak penguatkuasa menjaga alam sekitar dan membanteras pihak tidak bertanggungjawab ini," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment