My Add

Friday 19 July 2013

Panama tahan kontena bawa senjata Korea Utara

 * PEGAWAI polis Panama berkawal di hadapan kontena sebuah kapal dari Cuba yang dikatakan berisi sejumlah senjata milik pemerintah Korea Utara di Terminal Kontena Manzanillo, Bandar Colon, Panama kelmarin. - Reuters
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), KHAMIS, 18 Julai, 2013: Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon kelmarin memuji tindakan Panama kerana menahan sebuah kapal kontena milik Korea Utara yang dipercayai membawa sejumlah senjata dari Cuba.

Jawatankuasa Sekatan Majlis Keselamatan PBB juga akan segera meneliti isu tersebut.

"Setiausaha Agung (PBB) memuji tindakan yang diambil oleh Panama, bersesuaian dengan tanggungjawabnya di bawah resolusi Majlis Keselamatan yang berkaitan.

"Ki-moon menunggu hasil siasatan mengenai perkara tersebut dan yakin Jawatankuasa Sekatan Majlis Keselamatan akan segera menanganinya," menurut satu kenyataan pejabat akhbar Ki-moon.

Korea Utara kini berada bawah sekatan PBB kerana negara komunis berkenaan kerap melancarkan ujian nuklear dan peluru berpandu balistik.

Pujian luar biasa Ki-moon itu hadir selepas Panama menggesa Majlis Keselamatan PBB menyiasat kapal dan kontena, Chong Chon Gang milik Korea Utara.

Kelmarin, Duta Britain ke PBB, Mark Lyall Grant menyatakan bahawa peralatan peluru berpandu disembunyikan di dalam muatan gula perang dari Cuba dan ia melanggar sekatan senjata PBB ke atas Pyongyang.

Kapal itu ditahan pada minggu lalu semasa ia hendak melintasi Terusan Panama.

Pihak berkuasa negara Amerika Tengah itu turut menahan kru kapal pada Isnin lalu selepas menemui beberapa objek berbentuk peluru berpandu dan senjata yang tidak diisytiharkan.

Namun, Cuba mendakwa bahawa peralatan senjata tersebut dihantar balik ke Korea Utara untuk dibaiki.

Antara peralatan itu termasuk dua peluru berpandu antipesawat, sembilan roket, dua jet pejuang MiG-21 dan 15 enjin jet MiG-21.

Semua peralatan ketenteraan era Kesatuan Soviet itu dibina pada pertengahan abad lalu. - Reuters/KOSMO! 

No comments:

Post a Comment