My Add

Monday 15 July 2013

Pasangan persenda umat Islam dan Ramadan boleh didakwa

KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Julai, 2013: Pasangan yang mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan di laman sosial Facebook boleh didakwa kerana memaparkan gambar dan kata-kata jelik, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari hari ini.

Beliau berkata, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kesalahan itu boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pasangan itu hadir di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sini hari ini bagi memberi keterangan, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Pasangan itu didakwa memuat naik gambar mereka makan Bak Kut Teh beserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial berkenaan, baru-baru ini.

Pasangan itu tiba di pejabat penguatkuasaan SKMM di sini pada pukul 10.45 pagi.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Pengawasan Industri SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin memberitahu pemberita di pejabatnya bahawa siasatan akan dijalankan untuk beberapa hari sebelum laporan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan akan dilakukan dalam sehari dua," katanya.

Beliau berkata, selain SKMM, pihak polis juga akan turut menyiasat perkara itu mengikut perundangan yang ada.

Dalam pada itu National University of Singapore dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa Vivian Lee, pasangan wanita kontroversi itu, tidak pernah menuntut di universiti berkenaan seperti yang dilaporkan sebelum ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment