My Add

Thursday 18 July 2013

Pastikan setiap negeri ada UTC

Oleh ZAAIN ZIN

KUCHING, RABU, 17 Julai, 2013: Kerajaan akan memastikan setiap negeri memiliki sekurang-kurangnya sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi memudahkan rakyat berurusan setempat dengan pelbagai agensi awam dan swasta.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, Kementerian Kewangan sedang mengenal pasti lokasi terbaik di setiap negeri bagi merealisasikan rancangan tersebut.

Setakat ini, kata beliau, negeri-negeri yang sudah mempunyai UTC sendiri ialah Melaka, Kuala Lumpur, Perak, Pahang manakala sebuah lagi di Alor Setar, Kedah bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

"UTC terbaharu adalah di Kota Kinabalu, Sabah. Kita sudah pun mengenal pasti sebuah bangunan yang sesuai dan proses pengubahsuaian akan bermula tidak lama lagi.

"Di Kuching, perkara ini belum dimuktamadkan kerana masih mencari bangunan yang sesuai. Bangunan itu perlu menepati ciri-ciri seperti berada di lokasi mudah dikunjungi rakyat yang menggunakan pengangkutan awam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mewakili Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah merasmikan Majlis Konsultasi Bajet 2014 di sini hari ini.

Dalam majlis sama, beliau turut menerima memorandum mengandungi input-input yang ingin disumbangkan dalam pembentukan Bajet 2014 daripada tiga pertubuhan perniagaan Sarawak.

Mohd. Irwan dalam pada itu memberitahu, kewujudan UTC merupakan inisiatif kerajaan bagi memastikan rakyat dapat berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta syarikat swasta dengan lebih efisien dalam satu bangunan.

Katanya, di samping menyediakan pelbagai kaunter perkhidmatan, beberapa kemudahan bersifat nilai tambah turut diwujudkan seperti pusat jagaan kanak-kanak dan perpustakaan.

"Selain UTC yang besar, dua atau tiga UTC mini akan dibuka bagi memenuhi keperluan di kawasan padat dengan penduduk seperti di Sentul," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment