My Add

Thursday 18 July 2013

PDRM sambut baik Akta Keharmonian

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Julai, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan Akta Keharmonian Nasional yang bakal menggantikan Akta Hasutan 1948 dapat berperanan memastikan rakyat negara ini sentiasa menghormati keamanan dan keselamatan tanah air.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) berkata, apa yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung akta ini hari ini disambut baik kerana undang-undang baharu itu mampu membentuk kestabilan dan ketenteraman dalam negara.

"PDRM mengalu-alukan apa yang disebut oleh Perdana Menteri hari ini mengenai Akta Keharmonian Nasional ini kerana undang-undang ini penting dalam memastikan masyarakat terus menghormati sesama kaum dan agama.

"Saya juga yakin undang-undang baru ini juga dapat memastikan keharmonian rakyat Malaysia dapat dikekalkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan Akta Keharmonian Nasional yang sedang diusahakan bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan dalam menangani perbuatan yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Menurut Najib, akta baharu itu juga akan mengekalkan tiga prinsip utama antaranya menangani perbuatan yang membawa permusuhan antara kaum, menghina raja-raja Melayu atau mempersoalkan keistimewaan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Khalid dalam pada itu tidak menafikan tiga prinsip yang ditekankan dalam akta baharu ini mampu mengekang agenda tidak sihat segelintir pihak yang cuba mencetuskan suasana kacau-bilau di negara ini.

"Ketiga-tiga prinsip ini perlu dipelihara dan saya percaya jika dilaksanakan secara terancang, keamanan negara dapat dikekalkan," jelas beliau. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment