My Add

Wednesday 10 July 2013

Pegawai diminta lebih bertanggungjawab keselamatan atlet

JOHOR BAHRU, SLASA, 09 Julai, 2013: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini meminta para pegawai sukan supaya lebih bertanggungjawab terhadap atlet bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Beliau berkata, perhatian kepada atlet remaja khususnya perlu dijadikan tumpuan oleh jurulatih, pengurus mahupun ketua kontinjen supaya sebarang kejadian yang tidak diingini dapat diatasi.

"Memang tidak dinafikan tanggungjawab menjaga keselamatan atlet merupakan tugas polis tetapi kita sudah bersetuju semasa rundingan, iaitu polis menjaga kawasan sekitar perkampungan sukan tetapi di dalam bangunan adalah tanggungjawab jurulatih, ketua kontinjen dan atlet sesama sendiri.

"Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sudah memberikan penjelasan mengenai insiden ini, jadi, saya rasa saya tidak perlu ulas lanjut mengenainya," katanya menyentuh isu seorang pegawai pengiring mendakwa dirogol tiga atlet bola baling Wilayah Persekutuan di perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Rabu lepas.

Khalid berkata demikian kepada pemberita pada majlis ramah mesra Kelab Media Johor bersama Ketua Polis Negara, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, pegawai-pegawai tertinggi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Terdahulu, beliau dan barisan pegawai tertinggi PDRM menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi, di sini.

Khalid berkata, pertemuan itu bertujuan memperkenalkan pucuk pimpinan PDRM kepada baginda Tuanku dan memberikan taklimat ringkas mengenai senario keselamatan negeri ini.

Beliau berkata, Sultan Johor ada memberikan nasihat dan teguran kepada PDRM dan PDRM menerima nasihat terbabit dalam usaha mempertingkatkan kecekapan penugasan.

"Keadaan Johor adalah terkawal walaupun tidak dapat dinafikan jenayah berlaku di mana-mana. Keselamatan Johor khususnya Iskandar Malaysia sentiasa diutamakan dengan mempertingkatkan kehadiran anggota polis kerana penting dari segi menarik pelabur luar selain mengelakkan kegusaran masyarakat terhadap jenayah," katanya.

Beliau dalam pada itu memuji Kelab Media Johor atas inisiatif menganjurkan majlis ramah mesra berkenaan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment