My Add

Sunday 14 July 2013

Pekebun kecil perlu tingkat produktiviti

 Ibrahim Muhamad
PEKAN, SABTU, 13 Julai, 2013: Para pekebun kecil di negara ini perlu meningkatkan produktiviti mereka dengan tidak hanya tertumpu kepada mengusahakan getah semata-mata.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Ibrahim Muhamad berkata, ekoran harga getah yang tidak menentu, pekebun kecil boleh melibatkan diri dalam bidang keusahawanan misalnya bagi meningkatkan pendapatan.

“RISDA telah mengambil tindakan proaktif bagi memastikan produktiviti kebun sedia ada dapat ditingkatkan walaupun mempunyai keluasan tanah yang terhad.

“Kini, produktiviti para pekebun kecil merupakan faktor utama yang menentukan pendapatan mereka," katanya pada majlis penyampaian dividen RISDA dan pelancaran Program Generasi Muda Pekebun Kecil (GeMPeK) Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Ibrahim berkata, pada ketika ini, pekebun kecil getah berupaya mengeluarkan hasil sebanyak 1,604 kilogram perhektar setahun.

“Saya yakin produktiviti ini boleh ditingkatkan lagi kerana potensi klon yang sedia ada mampu menghasilkan lebih dan pekebun kecil perlu mengamalkan amalan pertanian yang baik (GAP)," katanya.

Beliau berkata, RISDA telah memberi fokus kepada GAP secara menyeluruh di seluruh negara melalui gerakan membaja, kursus dan konvensyen GAP.

Usaha-usaha berkenaan katanya, telah mula memberikan impak positif dalam meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Sementara itu, beliau turut berharap lebih ramai generasi muda akan melibatkan diri dalam sektor pertanian.

Menurutnya, bagi memastikan industri getah terus berkembang dan maju, penglibatan golongan muda amat diperlukan.

“Program seperti GeMPeK ini adalah antara usaha yang terbaik dilakukan oleh RISDA bagi menarik minat generasi muda menyertai sektor perusahan getah ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment