My Add

Thursday 11 July 2013

Pelaburan bersama tingkat penyepaduan

 
SINGAPURA, RABU, 10 Julai, 2013: Pelaburan bersama antara syarikat-syarikat akan meningkatkan lagi penyepaduan ekonomi dalam ASEAN, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar).

Dalam konteks mencapai Komuniti Ekonomi ASEAN, kata beliau, sudah ada banyak kemajuan yang dilihat, termasuk dalam perdagangan, piawaian, pengangkutan dan saling hubung.

"Dalam pelaburan, ia tidak begitu jelas, tidak terlalu ketara tetapi memang ada banyak pelaburan, bukan hanya Malaysia dan Singapura; kita perlu lakukan lebih lagi (dengan negara-negara lain) termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam," katanya kepada pemberita selepas menemui enam syarikat yang melabur dalam Iskandar Malaysia.

Sebelum itu, Mustapa, yang berada di sini untuk meneruskan perbincangan dengan komuniti perniagaan Singapura, juga mengadakan pertemuan waktu makan tengah hari dengan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Singapura semalam.

Menteri itu menegaskan bahawa sudah ada beberapa usaha sama antara syarikat Malaysia dan Singapura.

Sambil menyebut bahawa Malaysia membenarkan pemilikan asing sebanyak 100 peratus dalam sektor pembuatan, Mustapa berkata: "Meskipun kami membenarkan pemilikan 100 peratus dalam pembuatan, namun ada baiknya jika syarikat-syarikat ini boleh berkongsi dan menubuhkan usaha sama, sama ada dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat-syarikat swasta.

"Ada baiknya berkongsi, seperti satu syarikat besar yang saya temui hari ini (satu daripada enam syarikat) yang menubuhkan usaha sama dengan sebuah syarikat Malaysia.

"Pada pandangan saya, pusingan penyepaduan (dalam ASEAN) akan datang adalah tentang pelaburan; perlu ada lebih banyak pengaliran masuk, bukan sahaja dalam perdagangan, malah juga pelaburan," tegas beliau. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment