My Add

Wednesday 17 July 2013

Pelaburan RM744 juta di ECER

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG

PUTRAJAYA, SELASA, 16 Julai, 2013: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing, Johor terus menerima momentum baharu selepas RM744 juta lagi pelaburan diumumkan hari ini.

Projek baharu itu menjadikan jumlah pelaburan di wilayah tersebut melonjak kepada RM49 bilion serta mewujudkan lebih 40,000 peluang pekerjaan sejak wilayah ekonomi berkenaan dilancarkan pada Oktober 2007.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan para pelabur ECER di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Projek pelaburan di ECER yang diumumkan hari adalah seperti berikut:

* Pelaburan bernilai RM120 juta oleh Felda dan MMC Hassed Co. Ltd. untuk pembangunan ladang ternakan ikan sturgeon di Pahang.

* Pelaburan RM50 juta oleh Tropical Consolidated Corporation Sdn. Bhd. untuk membina kilang makanan dalam tin dan sejuk beku di Tok Bali, Kelantan.

* Pelaburan bernilai RM108 juta oleh Educrest Sdn. Bhd. untuk membina sekolah antarabangsa di Pahang.

* Pelaburan RM250 juta oleh Pahang Applied Advance Pharma Sdn. Bhd. untuk mengeluarkan vaksin denggi halal di Gambang, Pahang.

* Pelaburan RM111 juta oleh FPM Sdn. Bhd. untuk memperluaskan kilang baja di Kuantan, Pahang.

Dalam pada itu, ECER turut mengumumkan lima projek pelaburan melibatkan Dana Mudah Cara yang diuruskan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) seperti berikut:

* Pelaburan RM50 juta oleh Komitmen Mantap Sdn. Bhd. untuk membina pelan tenaga solar di Pasir Mas, Kelantan.

* Pelaburan RM26 juta oleh RD Paper Sdn. Bhd. untuk membina pusat sehenti kitar semula di Kuala Terengganu.

* Pelaburan bernilai RM17 juta oleh Ganu Dotcom Sdn. Bhd. dari Kemaman, Terengganu untuk membangunkan butik fesyen virtual.

* Pelaburan RM7 juta oleh Heritage Farm (M) Sdn. Bhd. untuk membangunkan ladang akuakultur berintegrasi udang air tawar dan ikan marin di Kuala Terengganu.

* Pelaburan RM5 juta oleh Tok Bali Dockyard & Engineering Sdn. Bhd. untuk membina pusat penyelenggaraan kapal di Tok Bali, Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, ECER dalam kenyataan memberitahu, majlis pembangunan wilayah ekonomi itu telah mengenal pasti projek-projek kritikal 2013 melibatkan perluasan Pelabuhan Kuantan, Taman Biopolimer Kerteh, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

"Projek perluasan Pelabuhan Kuantan akan menyaksikan pelabuhan ini ditransformasi menjadi pelabuhan laut dalam manakala pembangunan tembok penahan ombak telah dimulakan dan dijangka siap pada 2015," demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, MCKIP pula berjaya menarik komitmen pelaburan bernilai RM10.5 bilion dan dijangka mewujudkan sebanyak 8,500 peluang pekerjaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment